• 30 Apr 2024 | 21 Syawal 1445

858 Asnaf Terima Agihan Zakat Emas RM128,000

BESUT, 4 April - Seramai 858 asnaf di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut menerima bantuan melalui duit zakat Kedai Emas Sri Ayu sebanyak RM128,000.

Pemilik Kedai Emas Sri Ayu, Azbi Salleh berkata sumbangan tersebut bertujuan bagi membantu persediaan mereka yang kurang bernasib baik untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri yang berbaki kurang seminggu lagi.

 

"Pada tahun ini sebanyak RM150 zakat diberikan kepada setiap penerima daripada syarikat Kedai Emas Sri Ayu.

"Memandangkan kewangan negeri terhad disebabkan royalti petroleum yang masih belum dilunaskan oleh persekutuan kepada negeri Terengganu menyebabkan banyak agenda bantuan dari pihak kerajaan negeri tertangguh," jelasnya.

Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut berkata demikian ketika majlis sumbangan zakat berkenaan di Dewan Taman Sri Seratus, Dewan Terbuka Tok Has, dan Pusat Tarbiyah Kampung Baharu di sini, semalam.

Sementara itu, Wan Rosmawati Wan Ahmad, 46, yang merupakan ibu tunggal kepada lima orang anak yang masih kecil dan masih lagi bersekolah berkata, tidak ada yang mampu dilakukannya selain rasa bersyukur kepada Allah S.W.T. atas keperihatinan ADUN Kuala Besut dan Kedai Emas Sri Ayu yang memberi bantuan ini.

"Alhamdulillah, terima kasih kepada mereka yang terlibat atas sumbangan zakat ini.

"Wang ini akan saya gunakan sebaiknya untuk persediaan Hari Raya buat kami sekeluarga," ujarnya.