• 12 Mei 2024 | 4 Zulkaedah 1445

900 Ibu Tunggal Di DUN Batu Rakit Terima Sumbangan



Halina menyampaikan sumbangan kepada ibu tunggal.
Badan Amal Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat Negeri Terengganu (Serikandi) hari ini menyampaikan sumbangan kepada kira-kira 900 ibu tunggal di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit melalui program siri Jelajah Cakna Ibu Tunggal Serikandi.

Dalam perjumpaan ramah mesra itu, masing-masing menerima wang tunai RM200 beserta  barangan keperluan dapur bernilai RM100 yang disampaikan oleh Yang Dipertua Serikandi, To' Puan Seri Halina Zakaria yang juga isteri Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Sehingga kini program itu sudah menjelajah ke 20  lokasi antaranya Telemong, Bukit Payung, Wakaf Mempelam, Pengkalan Berangan, Kuala Nerus, Jabi, Bandar, Ladang dan Batu Rakit merupakan lokasi yang ke-20.


Halina berkata, bantuan itu bertujuan untuk meringankan beban yang ditanggung oleh ibu tunggal dalam menguruskan kehidupan seharian mereka setelah ketiadaan suami di sisi.

"Kira-kira 32,000 ibu tunggal yang berdaftar di negeri ini akan diberi bantuan dengan melibatkan peruntukan sebanyak RM6.4 juta," katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Jelajah Cakna Ibu Tunggal Serikandi bagi DUN Batu Rakit  di Dewan Sekolah Menengah Tengku Mizan Zainal Abidin, Batu Rakit, hari ini.

Turut hadir, calon Barisan Nasional (BN)  Parlimen Setiu, Dato' Mohd Jidin Shafee dan calon DUN Batu Rakit, Bazlan Abd Rahman.

Menurut Halina, kerajaan negeri di bawah YPKT dan Syarikat Air Terengganu (Satu) merupakan penyumbang utama kami dalam menjayakan program murni ini dan merupakan yang terbesar pernah dlaksanakan.

"Kerajaan BN akan terus membela nasib rakyat yang memerlukan bantuan untuk memastikan tiada yang terpinggir," katanya

Tag: