Jalur Gemilang
Berita :
Haraki Fest Sasar MoU Sebagai Hasil Nyata Karnival
Haraki Fest Sasar MoU Sebagai Hasil Nyata Karnival
Rohayati Ripin
1 jam yang lepas
45

KUALA TERENGGANU, 1 Oktober - Karnival Usahawan Sejahtera 2026 atau Haraki Fest disasarkan tidak berakhir sebagai program jualan semata-mata, sebaliknya mampu menghasilkan kerjasama berterusan antara usahawan dengan agensi serta pihak berkepentingan.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, antara hasil nyata yang ingin dilihat menerusi penganjuran karnival itu ialah pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) yang boleh membuka ruang kerjasama selepas program berakhir.

“Saya berharap selepas Karnival Usahawan Sejahtera ini, kita dapat melihat satu perkara yang lebih besar.

"Jangan kita ukur kejayaan Karnival hanya berdasarkan berapa ramai pengunjung datang atau berapa banyak jualan berlaku.

"Kejayaan yang lebih bermakna ialah berapa banyak jaringan perniagaan yang terbentuk, berapa banyak usahawan mendapat peluang pasaran baharu, berapa banyak usahawan mendapat akses kepada pembiayaan, berapa banyak peluang pekerjaan diwujudkan dan berapa banyak kerjasama yang boleh diteruskan selepas Karnival berakhir," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Usahawan Sejahtera 2026 Haraki Fest di Kompleks Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU), di sini, semalam. 

Ariffin berkata, penghasilan MoU antara usahawan, agensi dan pihak berkepentingan boleh menjadi salah satu ukuran bahawa hubungan yang terjalin sepanjang karnival diterjemahkan kepada kerjasama sebenar.

Menurutnya, karnival berkenaan perlu menjadi titik permulaan kepada hubungan yang lebih tersusun dan berpanjangan, bukannya terhenti sebaik sahaja program selesai.

Katanya, pendekatan itu penting kerana pembangunan keusahawanan memerlukan kerjasama pelbagai pihak dan tidak boleh digerakkan oleh usahawan secara bersendirian.

“Usahawan tidak boleh bergerak bersendirian. Kerajaan mempunyai peranan. YPU mempunyai peranan. Agensi pembiayaan mempunyai peranan. Institusi pendidikan mempunyai peranan. Sektor korporat mempunyai peranan. NGO dan komuniti juga mempunyai peranan.

"Dan yang paling penting, usahawan sendiri mesti mempunyai kesungguhan untuk belajar, berubah dan berkembang.

"Apabila semua pihak bergerak dalam satu ekosistem, kita bukan sahaja membantu seorang usahawan. Kita membantu mewujudkan rantaian ekonomi yang lebih luas," ujarnya

Dalam pada itu, Ariffin berkata, karnival berkenaan turut menjadi ruang untuk mempertemukan usahawan dengan pelbagai pihak bagi membina hubungan yang berpotensi diteruskan dalam bentuk kerjasama strategik.

Beliau berkata, kesan jangka panjang daripada hubungan tersebut lebih penting kerana ia berupaya mewujudkan peluang pekerjaan, mengembangkan pasaran dan memberi limpahan ekonomi kepada komuniti.

Justeru itu, beliau berharap karnival ini menjadi satu platform yang menyatukan usahawan Terengganu, mempertemukan mereka dengan pasaran, pembiayaan, ilmu, teknologi dan jaringan strategik. 

"Kerjasama antara KU Haraki, YPU, agensi kerajaan dan sektor swasta dapat terus diperkukuhkan selepas karnival ini.

"Marilah kita bersama-sama membina ekosistem keusahawanan Terengganu yang lebih kukuh," tambah beliau.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan