Berita :
91 Hektar Hutan Terbakar Di Rantau Abang, Operasi Pemadaman Dipertingkat
91 Hektar Hutan Terbakar Di Rantau Abang, Operasi Pemadaman Dipertingkat
Husaif Mamat
1 jam yang lepas
54

Oleh : Wan Al Affan Bassam Wan Manam

DUNGUN, 24 April — Kira-kira 91 hektar kawasan hutan di Kampung Baru Kuala Abang musnah dalam kebakaran yang berlaku sejak petang semalam, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli berkata, operasi pemadaman kini sedang giat dijalankan dengan penglibatan seramai 41 anggota.

Katanya, pasukan yang terlibat terdiri daripada anggota bomba negeri, Balai Bomba dan Penyelamat Dungun serta Kerteh, selain dibantu anggota RELA dan penduduk kampung.

“Semua pihak sedang berganding bahu bagi mengawal kebakaran daripada terus merebak.

“Keadaan cuaca panas dan kering dipercayai menjadi antara faktor yang menyumbang kepada kebakaran ini, sekali gus menyukarkan usaha pemadaman yang sedang dijalankan secara berterusan,” katanya ketika meninjau kerja-kerja pemadaman di lokasi kejadian.

Mohd Fadhli turut menzahirkan kebimbangan terhadap insiden tersebut dan merayu orang ramai agar tidak melakukan sebarang pembakaran terbuka, khususnya dalam keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.

Menurutnya, tindakan tidak bertanggungjawab itu boleh mengundang risiko kebakaran lebih besar, selain memberi kesan kepada alam sekitar dan keselamatan penduduk.

“Usaha pemantauan dan pemadaman akan terus dipergiatkan sehingga kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya.

“Langkah ini penting bagi mengelakkan kerosakan yang lebih serius terhadap alam sekitar serta memastikan keselamatan penduduk setempat terus terpelihara,” katanya.

Beliau turut menyeru masyarakat setempat agar terus memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dan sentiasa peka terhadap sebarang aktiviti yang berpotensi mencetuskan kebakaran.

“Doakan agar semua petugas yang berada di lapangan dipermudahkan segala urusan serta diberikan keselamatan sepanjang menjalankan tugas,” katanya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan