• 10 Nov 2024 | 08 Jamadil Awal 1446

Abdul Hadi Semakin Sihat, Kembali Teruskan Rutin Kuliah Dhuha Esok

KUALA TERENGGANU, 25 Januari- Kesihatan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang kini semakin baik dan dijadualkan akan kembali meneruskan rutin menyampaikan kuliah dhuha pada setiap Jumaat di Masjid Rusila, Marang, esok. 

Anaknya, Dr Muhammad Khalil memberitahu, Ahli Parlimen Marang berusia 76 tahun itu baru-baru ini berada di Institut Jantung Negara (IJN) bagi menjalani pemeriksaan jantung. 

"Alhamdulillah, ayahanda tok guru semakin sihat, dan yang penting adalah semangatnya terus kental membawa agenda memartabatkan agama dan politik Islam dalam negara kita.

"Beliau baru sahaja balik dari Kuala Lumpur selepas seminggu yang lalu berada di IJN. 

"InsyaAllah, beliau akan meneruskan rutin biasa selepas ini, dan jika diizinkanNya esok ayahanda akan menyampaikan kuliah seperti biasa di Masjid Rusila, " ujarnya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai perkembangan kesihatan Abdul Hadi pada Majlis Perasmian Program Indahnya Hidup Bersyariat Dan Pelancaran Bulan Penghayatan Ibadah Solat (BPIS) Peringkat Negeri.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato' Mohd Nor Hamzah di Wisma Darul Iman, hari ini.