Terengganu Peruntuk RM6 Juta Bantu Pelajar Sambung Master, PhD
ADUN Chukai Serah Sumbangan Kepada Pelajar Cemerlang SPM
KEMAMAN, 23 Jun – Pelajar cemerlang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di daerah ini, Alya Sofea Shukor, 18, yang bakal melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi menerima sumbangan sebanyak RM2,000 daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai.
ADUN Chukai, Hanafiah Mat menyampaikan sumbangan berkenaan kepada bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Chukai itu ketika berkunjung ke rumah pelajar terbabit di Kampung Geliga Besar, baru-baru ini.
"Alhamdulillah, saya ingin mengucapkan tahniah kepada adik Alya yang telah mendapat keputusan SPM yang cemerlang ini. Saya mendoakan agar dia akan berjaya dalam apa jua bidang yang akan diceburinya nanti.
“Semoga kejayaannya ini menjadi pemangkin semangat untuk pelajar lain berusaha bersungguh-sungguh untuk berjaya pada masa akan datang," ujarnya kepada pemberita.
Katanya, diharapkan sumbangan tersebut sedikit sebanyak dapat menampung keperluan pelajar cemerlang terbabit untuk menyambung pelajaran.
Sementara itu, Alya Sofea yang mendapat keputusan 9A+ menzahirkan ucapan terima kasih atas keprihatinan ADUN Chukai itu.
Beliau turut memanjat kesyukuran ke hadrat Ilahi di atas kejayaan keputusan SPM yang diperolehi itu dan turut berkongsi beberapa tips untuk berjaya di dalam peperiksaan.
"Alhamdulillah, saya sangat gembira dengan keputusan ini. Apabila ditanya tips kejayaan, bagi saya yang paling penting kita perlu memberi sepenuh tumpuan ketika guru sedang mengajar di dalam kelas. Selain daripada itu, kita perlu pastikan setiap kerja sekolah yang guru beri disiapkan tepat pada masanya.
Dia yang bercita-cita menjadi seorang doktor turut berkongsi, sebagai seorang pelajar menghormati guru-guru dan rakan di sekolah adalah suatu perbuatan yang mulia.