Jalur Gemilang
Berita :
ADUN Langkap Cadang Perkasa Pertanian, Rantaian Ekonomi Makanan
ADUN Langkap Cadang Perkasa Pertanian, Rantaian Ekonomi Makanan
Ariss Alias
19 jam yang lepas
107

KUALA TERENGGANU, 18 November - Kerajaan Terengganu disaran memperluas bantuan kepada petani kecil serta memperkukuh rantaian ekonomi sektor pertanian bagi meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar dan memperkukuh keterjaminan makanan. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap Azmi Maarof berkata kawasan Langkap dan daerah Setiu mempunyai potensi besar dalam sektor pertanian, penternakan serta pengeluaran makanan yang perlu dimanfaatkan secara lebih strategik. 

Beliau berkata bantuan kepada petani kecil perlu merangkumi penyediaan infrastruktur pertanian, sistem pengairan dan saliran, peralatan serta penggunaan teknologi pertanian moden. 

"Saya berpandangan sektor ini perlu terus diperkasakan kerana ia bukan sahaja menyediakan sumber makanan, malah menjadi sumber pendapatan kepada ramai penduduk luar bandar," katanya ketika membahaskan Belanjawan Terengganu 2027 di Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu, semalam.

Beliau berkata pembangunan sektor pertanian juga perlu dilihat secara menyeluruh dengan menghubungkan aktiviti pengeluaran, pemprosesan, pembungkusan dan pemasaran. 

Pada masa sama, beliau berharap usahawan tani dan pengusaha makanan kecil di Langkap diberikan peluang mendapatkan bimbingan, pembiayaan serta akses pasaran. 

Azmi berkata sektor pertanian perlu dilihat sebagai bidang ekonomi yang berpotensi memberikan pulangan lebih baik dan bukan sekadar pekerjaan tradisional, khususnya bagi menarik minat golongan muda.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan