• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

ADUN Manir Santuni Warga Tiong Hua

HULU TERENGGANU, 8 Februari - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Hilmi Harun menyantuni masyarakat Tiong Hua sempena Tahun Baru Cina yang akan disambut pada Ahad depan.

Hilmi Harun berkata, program ziarah tersebut melibatkan 10 keluarga yang disantuni semalam bagi menyerlahkan toleransi bermasyarakat dalam pelbagai kaum di kawasan Manir.

Katanya, program itu juga turut diserikan dengan penyampaian 'angpau' dan limau kotak Tahun Baru Cina kepada mereka.

"Saya mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada kaum Tiong Hua di DUN Manir khususnya dan Malaysia am-nya.

"Di antara ajaran Islam juga meminta berlaku adil kepada semua rakyat dalam masyarakatnya," katanya kepada pemberita selepas program ziarah semalam.

Turut hadir, Ketua Lajnah Perpaduan Nasional Hulu Terengganu, Khairul Huda Muhammad, Penyelaras Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (I-MITS) Manir, Zulkifli Abdullah dan Hal Ehwal Masyarakat IMITS Manir, Rozali Mamat.

Tambah Hilmi, semoga dengan kedatangan tahun baru ini dapat memberi kegembiraan dan keharmonian dalam berkeluarga dan bermasyarakat.

Menurutnya, objektif ziarah adalah untuk menunjukkan kerukunan dalam masyarakat setempat dan prihatin ADUN terhadap rakyatnya tanpa memilih kaum tertentu sahaja.

"Antara kampung terlibat dalam kunjungan ziarah tersebut adalah di Pulau Manis, Hamparan Permai, Peradong dan Kedai Manir," ujarnya.

 


Tag: