• 08 Mei 2024 | 29 Syawal 1445

ADUN Wakaf Mempelam Rai Pelajar Cemerlang Dari Rumah Ke Rumah

Oleh : Wan Luqman Hakim

KUALA TERENGGANU, 14 Jun -  Seramai 67 pelajar SPM, STPM dan STAM yang berjaya mendapat keputusan yang cemerlang tahun lalu, menerima sumbangan sagu hati daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Wan Sukairi Wan Abdullah.

Berdepan kemelut Covid-19 dan demi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), majlis yang biasanya diadakan di dewan ditukar dengan Wan Sukairi memilih untuk menyantuni pelajar terbabit dari rumah ke rumah.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) berkata, program ini adalah untuk menghargai anak-anak tempatan yang cemerlang di samping memberikan semangat baru kepada mereka untuk melanjutkan pelajaran di peringkat lebih tinggi.

“Saya bersama  Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam menyampaikan penghargaan serta ucapan selamat maju jaya kepada mereka dalam apa jua bidang yang mereka ambil sama ada di peringkat matrikulasi, asasi mahu pun diploma.

“Mereka ini adalah pelapis yang akan mengantikan pemimpin sedia ada sekali gus menjadi harapan untuk membangunkan negeri dan Negara kita ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) sewaktu mengadakan Program Ziarah Pelajar Cemerlang di Kampung Kubang Jambu dan kampung-kampung sekitarnya, semalam.