• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Aedes: 200 Kompaun Dikeluarkan di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 28 Februari - Sebanyak 200 kompaun bernilai RM100,000   dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu membabitkan pembiakan nyamuk Aedes di premis-premis diperiksa sehingga minggu epidemiologi (ME) kelapan 2024.

Pengarahnya, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, daripada jumlah itu, 168 kompaun telah dibayar membabitkan kutipan berjumlah RM17,490.

Menurutnya, sepanjang tempoh tersebut, jabatan telah memeriksa 31,337 premis dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 649 premis dikesan positif terdapat pembiakan jentik-jentik nyamuk.

"Bagi kes demam denggi di Terengganu, sebanyak 60 kes direkodkan dari Januari hingga 24 Februari berbanding hanya 49 kes dicatatkan berbanding tempoh sama tahun lepas.

"Ia adalah peningkatan sebanyak 11 kes atau 22.4 peratus," katanya ketika dihubungi pemberita.

Tambahnya, dalam tempoh sama juga, sebanyak dua episod wabak denggi dilaporkan di Terengganu iaitu di Kampung Gaung Lubuk Kawah di Besut dan Taman Bukit Indah di Marang.

"Bagaimanapun, kedua-dua wabak itu adalah terkawal dengan dua kes demam denggi bagi setiap wabak tersebut dilaporkan setakat ini," katanya.

Tambahnya, sebanyak 19,604 premis telah dibuat semburan kabus setakat ini manakala 29,514 premis pula terlibat dengan semburan larvasiding.

Tambah beliau, kurang kesedaran mengenai tanggungjawab memastikan kebersihan kawasan sekeliling menjadi antara faktor peningkatan kes demam denggi di Terengganu.

"Oleh itu, kita berharap pihak berkuasa tempatan akan mengadakan program gotong-royong bersama-sama masyarakat setempat untuk mencegah kawasan pembiakan nyamuk Aedes di kawasan berisiko.

"Setakat ini, sebanyak 66 siri gotong royong telah pun diadakan untuk mencari dan memusnahkan sarang pembiakan tersebut," katanya.