Oleh : Suhaimi Taib
KUALA TERENGGANU, 26 JUN - Timbalan Menteri Sains Teknologi Dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim menyanjung tinggi kerjaya pemandu syarikat penghantar makanan kerana usaha gigih mencari sesuap nasi di musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pandemik Covid-19.
"Saya angkat kupiah...salut. Sayu hati saya tengok gigihnya mereka mencari rezeki.
"Kalau saya seusia mereka, hari ini mungkin saya pun jadi penghantar Food Panda seperti adik adik ni, " katanya dalam status facebook beliau yang dimuatnaik sambil berkungsi rasa bersama dua pemandu berkenaan yang ditemui beliau di hadapan Pasar Cabang Tiga di sini hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata, walaupun letih, mereka tiba ke rumah pelanggan dengan sopan, bercakap dengan gaya yang baik serta sentiasa senyum.
Sementara itu netizen turut memberi komen positif usaha penghantar makanan berkenaan dan keprihatinan Ahmad Amzad mendekati golongan terkesan akibat pandemik tersebut.
Seorang yang dikenali sebagai Nur Humairah berkata, dia sentiasa ingatkan anak-anaknya supaya lebihkan bayaran kepada mereka sebagai penghargaan kerana sanggup berkhidmat untuk semua dalam panas dan hujan.
Mengulas kenyataan itu Ahmad Amzad berkata, anak-anak lelaki beliau ada yang seusia mereka antara 22 dan 26 tahun.
"Tengok mereka saya nampak anak anak saya," ujarnya.