• 09 Mei 2024 | 1 Zulkaedah 1445

Ahmad Razif Yakin Keupayaan TMJ Terajui FAM


Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) yakin dengan kemampuan Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang dilantik sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang baharu. 

Presidennya, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, berdasarkan rekod kejayaan yang diperolehi sebelum ini sebagai pemilik pasukan Johor Darul Takzim (JDT), membuktikan baginda layak berada di kedudukan baru itu.

Beliau yang juga Menteri Besar berkata, TMJ pastinya mempunyai formula tersendiri untuk menyuntik dan membawa pasukan Harimau Malaysia kembali ke zaman kegemilangannya sebagaimana yang pernah diraih sebelum ini.

"Dengan kepimpinan baharu yang diterajui oleh TMJ ini ianya akan memberi suntikan baru kepada pasukan bola sepak Malaysia.

"Ianya juga sekali gus dapat mengembalikan semula kegemilangan pasukan bola sepak Malaysia di arena antarabangsa," katanya yang turut mengucapkan tahniah dengan kemenangan TMJ tanpa bertanding dalam pemilihan jawatan nombor satu badan induk bola sepak negara yang baharu itu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Majlis Hi-Tea Bersama Pasukan Terengganu FA Sempena Menghadapi Suku Akhir Piala FA di Duyung Marina Resort, Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Wan Nawawi Wan Ismail dan Pegawai Daerah Kuala Nerus, Dato' Tengku Farok Hussin Tengku Abd Jalil.

Dalam pada itu, mengulas mengenai penjaga gol Terengganu, Mohd Sharbinee Allawee Ramli, Ahmad Razif berkata, bekas pemain kebangsaan itu kini masih berada dalam skuad Terengganu.

Katanya, Sharbinee diberikan rehat selama enam bulan untuk menjalani rawatan dan pihak PBSNT tiada masalah mengenai perkara tersebut.

"Sharbinee akan terus dibayar gaji seperti biasa dan akan diberi rehat sepenuhnya sehingga keadaannya mengizinkan.

"Saya dimaklumkan rawatan yang dilakukan terhadap beliau ada menunjukkan peningkatan dan pihak doktor memberi jaminan dalam masa enam bulan Sharbinee akan sembuh penyakitnya sekali gus boleh bermain seperti biasa," katanya.


Tag: