• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

Aidilfitri:70,000 Kenderaan Dijangka Masuk Terengganu

KUALA TERENGGANU, 8 April – Polis Terengganu menjangkakan jumlah kenderaan yang memasuki Terengganu dijangka meningkat antara 50,000 hingga 70,000 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata jumlah itu meningkat ketara berbanding hanya antara 16,000 hingga 20,000 kenderaan pada hari biasa, membabitkan perantau yang pulang ke Terengganu dan Kelantan.

Sehubungan itu, pihaknya sudah menambah anggota khususnya bahagian trafik bagi mengawal dan menyuraikan kesesakan lalu lintas untuk memastikan kelancaran serta keselamatan trafik terutama di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).

Katanya, bagi memastikan pengguna tidak terperangkap dalam kesesakan, kita akan menggerakkan elemen-elemen trafik untuk melancarkan semua laluan di Terengganu.

"Antara langkah yang akan diambil adalah membuat lencongan jalan atau meletakkan anggota trafik di kawasan lampu isyarat atau kawasan yang mempunyai banyak simpang bagi melancarkan laluan.

"Biasanya daerah Setiu dan Besut akan mengalami kesesakan yang teruk kerana ia turut menjadi laluan perantau yang mahu pulang ke Kelantan," ujar beliau.

Mazli berkata, seramai 210 pegawai dan anggota trafik ditugaskan dengan dibantu balai-balai berhampiran bagi memastikan kelancaran trafik serta memantau jalan yang sesak seterusnya mengambil tindakan perlu.

Katanya, pengguna jalan raya juga diingatkan supaya merancang perjalanan dan mematuhi arahan pihak berkuasa selain mengikuti perkembangan semasa aliran lalu lintas di Terengganu.

Sementara itu, jumlah kenderaan dilihat mula bertali arus memasuki pintu masuk Terengganu sejak semalam berikutan kepulangan perantau untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri di kampung halaman.

Tinjauan UPDI mendapati, jumlah kenderaan semakin bertambah sejak malam tadi, namun trafik lancar dan dijangka keadaan itu berterusan menjelang malam raya.