• 08 Mei 2024 | 29 Syawal 1445

Air Sungai Melimpah, Tiga Rumah Terjejas

 

HULU TERENGGANU, 4 November - Tiga buah rumah di Kampung Pelandan di sini mula digenangi air selepas hujan lebat sejak pagi tadi.

Hasil tinjauan mendapati, lokasi rumah-rumah berkenaan berada hampir dengan sungai dan kawasan itu merupakan laluan air jika ia melimpah.

Menurut salah seorang penduduk yang terlibat, Hassan Jusoh, 66, berkata hujan berterusan hampir tiga jam pagi tadi menyebabkan rumahnya dinaiki air hampir 0.5 meter.

Dia yang tinggal bersama isterinya, Saadiah Abdullah, 56, dan anak lelaki, Mohd Hanif Azizi, 30 menyifatkan ia perkara biasa sejak menetap di situ lebih dari 30 tahun.

"Hujan tidak berhenti sejak semalam dan semakin lebat pagi tadi menyebabkan Sungai Kepar melimpah secara tiba-tiba.

"Biasanya pak cik akan pindah jika air hampir satu meter bagi keselamatan kami sekeluarga,"ujarnya ketika ditemui pemberita di rumahnya, hari ini.

Hassan berkata, dia pernah mempunyai impian untuk mencari penempatan lain tetapi tidak mampu kerana kekangan kewangan.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Dariah Abdullah, 43 yang tinggal bersama empat orang anaknya menyifatkan suasana itu perlu dilaluinya sejak tinggal di rumah berkenaan.

"Kawasan rumah kami merupakan kawasan terawal dinaiki air pada musim tengkujuh.

"Dah lalui hampir 30 tahun tapi setiap kali air naik, memang ada rasa takut.Sebab itu, kami sekeluarga tetap akan pindah ke pusat pemindahan untuk keselamatan anak-anak," katanya yang menumpang di tanah bekas bapa mertuanya.


Tag: