• 30 Apr 2024 | 21 Syawal 1445

Aksi Menari 'Alamak Raya Lagi' Boleh Bawa Hukum Haram

KUALA TERENGGANU, 17 April - Aksi tarian menggunakan lagu 'Alamak Raya Lagi' di media sosial boleh membawa kepada hukum haram lebih-lebih sekiranya mendedahkan aurat.

Mufti Terengganu, Prof. Madya Datuk Dr Mohamad Sabri Harun berkata, trend tersebut perlu dielakkan kerana ia dilihat menjatuhkan maruah wanita apabila mempamerkan aurat.

Bahkan katanya, bukan sahaja menyerlahkan reputasi yang negatif kepada pelakunya malah menurutnya akan mencemarkan perayaan Aidilfiltri yang sedang diraikan oleh seluruh umat Islam pada ketika ini.

"Sepatutnya pebutan tersebut dielakkan kerana boleh menonjolkan aurat yang boleh membawa kepada (hukum) haram, sebarang perbuatan yang negatif sudah pasti mencemarkan keharmonian perayaan Aidilfitri itu sendiri," ujarnya sebagaimana yang dilaporkan Sinar Harian ketika dihubungi di sini, semalam.

Dalam pada itu, Mohammad Sabri turut menzahirkan perasaan kesal atas tindakan masyarakat beragama Islam yang begitu mudah terikut dengan trend semasa sehingga melupakan batas agama.

"Sehubungan itu, saya ingin mengingatkan kepada masyarakat  supaya jangan mudah terikut-ikut dengan budaya baharu.

"Fikir dahulu sebelum melakukan sesuatu, jika tidak, dibimbangi akan menjerumuskan diri kepada fitnah yang mencemarkan budaya harmoni kita," ujarya.