• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Aksi STAR Team Tarikan Utama Karnival Maritim Perkasa

KUALA TERENGGANU, 29 Februari - Persembahan Pasukn Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menjadi tumpuan utama pengunjung di Karnival Maritim Perkasa yang bermula, hari ini.

Persembahan aksi melalui teknik 'fast-roping' diikuti letupan pyrotechnic serta pertunjukan aset laut dan udarailik agensi berkenaan akan diadakan sebanyak empat sesi sepanjang tiga hari karnival berlangsung.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri atas kerjasama menyediakan lokasi karnival yang dianjurkan APMM.

"Karnival Maritim Perkasa 2024 merupakan platform terbaik bagi membolehkan rakyat memahami peranan dan tanggungjawab yang dimainkan agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) khususnya APMM dalam merealisasikan apa yang digariskan kerajaan.

"Terutama sekali dalam mengawal sempadan perairan negara daripada pencerobohan.

"Saya percaya, penglibatan rakyat dan masyarakat adalah penting terutama sekali dalam menyalurkan maklumat.

"Rakyat mesti menjadi mata dan telinga kita dan kerjasama ini penting kerana saya percaya tanggungjawab menjaga keselamatan negara tidak boleh terletak 100 peratus kepada APMM, agensi lain seperti polis dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival Maritim Perkasa di Dataran Jambatan Angkat Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama mewakili kerajaan negeri ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) KDN, Dato' Abdul Halim Abdul Rahman, Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin dan Ketua Polis Terengganu Dato' Mazli Mazlan.

Bertemakan 'Melestarikan Warisan Maritim Negara', karnival turut dimeriahkan dengan forum agama, aktiviti kesenian dan kebudayaan, tayangan teater, temu mesra bersama selebriti dan konsert nasyid Rabbani, NowSeeHeart dan Fareez (Mentor).

Selain itu, sebanyak 35 reruai pameran dan kaunter perkhidmatan kerajaan serta 100 gerai jualan produk usahawan Industri Kecil Sederhana (IKS) turut dibuka sepanjang karnival berlangsung.

Dalam pada itu, Tengku Seri Bijaya Raja berbesar hati atas penganjuran program berkenaan.

"Saya ucapkan terima kasih kepada Maritim kerana memilih Terengganu sebagai lokasi yang mana merupakan pengiktirafan kepada kerajaan negeri.

"Karnival ini membuka lembaran baru dalam kalendar negeri dan kerajaan negeri bersyukur dijadikan tuan rumah kepada acara yang membuka pintu kunjungan pelawat ke negeri Terengganu.

"Saya kira, ia satu platform kepada kami untuk memperkenalkan keindahan dan kepelbagaian alam ciptaan Allah SWT di negeri ini.

"Ia juga memberi peluang kepada kami mempamerkan budaya dan warisan negeri Terengganu," katanya.

 


Tag: