• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

DUNGUN, 26 Jun- Pihak sekolah termasuk di peringkat Sekolah Kebangsaan (SK) disaran mengaktifkan alumni masing-masing untuk memperkasa sekolah melalui sumbangan bekas pelajar terutamanya yang terdiri daripada golongan profesional.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata,  penglibatan lepasan pelajar sangat penting supaya kepakaran dan kemahiran mereka dapat dimanfaatkan oleh sekolah serta masyarakat setempat.

"Kejayaan yang mereka capai adalah hasil daripada tunjuk ajar guru-guru sejak di bangku sekolah rendah.

"Saya yakin bahawa sudah ramai alumni yang berjaya menjadi insan berguna pada masyarakat di luar sana, lahirnya mereka juga hasil didikan guru-guru.

"Buktinya hari ini ramai bekas murid yang turut serta dalam Ahli Jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), ini diharapkan lebih ramai lagi dapat melibatkan diri," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PIBG Sekolah Kebangsaan Padang Pulut di sini, semalam.

Hadir sama dalam majlis tersebut, Guru Besar sekolah, Che Rozali Che Mat dan Pengerusi PIBG, Mohd Yusni Yusof. 

Pada masa yang sama, beliau turut menasihati para ibu bapa supaya mengambil berat pengajian Al-Quran anak-anak mereka.

"Jangan ada antara anak-anak yang buta Al-Quran kerana biasanya anak-anak yang mahir membaca Al-Quran tidak ketinggalan dalam pelajaran," ujarnya. 


Tag: