• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Aktiviti Korek Pasir Lebih 10 Tahun Di Sungai Terengganu Mungkin Ditamatkan

KUALA TERENGGANU, 14 September - Kerajaan negeri menyuarakan penegasan untuk menamatkan aktiviti mengorek pasir di Sungai Terengganu yang telah beroperasi sejak 10 tahun lalu kerana dipercayai mengakibatkan hakisan di kawasan paip utama pecah bulan lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau Terengganu, Dr. Mamad Puteh berkata, buat masa ini, aktiviti perusahaan pasir ditangguhkan serta-merta sehingga siasatan selesai dan kemungkinan tidak akan diteruskan sekiranya ia mengakibatkan krisis serta menyebabkan kesusahan orang ramai,

Katanya, perkara tersebut akan dibincangkan dengan lebih teliti melibatkan pelbagai pihak sebelum dimuktamadkan.

"Secara dasarnya, hakisan sepanjang lebih kurang 80 meter itu menjadi punca paip utama Syarikat Air Terengganu (SATU) pecah sehingga mengakibatkan krisis air yang berlaku baru-baru ini.

"Namun, kita tidak menyalahkan mana-mana pengusaha kerana kita tidak ada bukti yang kuat disebabkan ia melibatkan masa yang lama dan banyak pengusaha-pengusaha pasir sebelum ini.

"Kita juga telah mengarahkan kajian melalui jawatankuasa yang diketuai Unit Perancang Ekonomi Terengganu (UPEN) untuk menyiasat apa yang berlaku," katanya kepada media dalam Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Ke-14, di sini, hari ini.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang itu, sebanyak 12 pengusaha pasir telah beroperasi dalam tempoh 10 tahun terakhir di kawasan tersebut dan kini hanya tujuh yang masih aktif.

 

 

 

 


Tag: