• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

Aktiviti Merentas Desa Hanya Dibenarkan Selepas 5 Petang

KUALA TERENGGANU, 23 April - Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) hanya membenarkan  sebarang aktiviti luar bilik darjah pada musim panas diadakan selepas pukul 5 petang

Pengarahnya, Jelani Sulong berkata kebenaran hanya dibenarkan sekiranya keadaan suhu pada hari berkenaan adalah dibawah 35 darjah celcius.

Katanya, sebelum ini pihak JPNT telah memberi arahan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) supaya menangguhkan semua aktiviti luar luar bilik darjah dalam keadaan cuaca panas yang melanda negara kini bagi memastikan keselamatan murid serta mengelak berlakunya kejadian tidak diingini seperti strok haba.

"Ia selaras garis panduan yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi memastikan keselamatan murid serta mengelak berlakunya kejadian tidak diingini seperti strok haba.

"Namun, sekiranya aktiviti itu dilakukan selepas pukul 5 petang dan suhu harian adalah di bawah 35 darjah Celcius, maka ia dibolehkan," katanya ketika dihubungi pemberita.

Tambah Jelani, JPNT sentiasa memantau rapat semua aktiviti yang diadakan pihak sekolah agar selari dengan pekeliling yang dikeluarkan KPM.

"Kita juga mengalu-alukan sebarang aduan daripada mana-mana pihak terutama ibu bapa sekiranya ada sekolah yang tidak mematuhi peraturan ini untuk kita menyiasat secara terperinci," katanya.

Terdahulu, ramai ibu bapa yang meluahkan kebimbangan mengenai aktiviti merentas desa kerana dikhuatiri menjejaskan kesihatan anak-anak mereka berdasarkan beberapa kes yang berlaku sebelum ini.