• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

'Alhamdulillah, Boleh Buat Tambah Belanja'

DUNGUN, 26 April- "Alhamdulillah, boleh buat tambah belanja," ujar Sazali Muhammad Sari, 28, graduan Pengurusan  Tanah, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam.

Sazali yang juga seorang kelainan upaya (OKU) antara 5,582 orang penerima Bantuan Khas i-fitri di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang.

Dia yang sebelum ini tidak pernah menerima dana raya melahirkan rasa gembira apabila terpilih sebagai penerima sumbangan i-fitri. 

Sazali yang kini membuka kedai runcit di hadapan rumahnya di Kampung Rhu Batil, memandu sendiri ke Dewan Arena Merdeka untuk mengambil wang bantuan tersebut, semalam.

Sumbangan i-fitri di DUN Rantau Abang diagihkan di dua lokasi berbeza untuk mengelakkan kesesakan. 

Salah satu lokasi lagi ialah di Dewan Al-Husna, Markas Tarbiah Darul Ansor, Kampung Alor Mak Bah, Pulau Serai.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri dengan jumlah yang besar diperuntukkan kepada penerima di DUN tersebut. 

"Kerajaan Terengganu telah membelanjakan RM58.99 juta untuk i-fitri dan RM2,194,150 kepada penerima di DUN Rantau Abang," katanya. 

Beliau berharap supaya penerima-penerima menggunakan sebaiknya untuk keperluan sahaja. 

"Berbelanjalah dengan berhemah," katanya. 


Tag: