• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Al-Quran Perakuan Kerasulan Rasulullah SAW

KUALA TERENGGANU,19 April - Majlis sambutan Nuzul Al-Quran peringkat negeri Terengganu Darul Iman telah berlangsung dalam satu majlis ringkas namun penuh bermakna di Masjid Kristal Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, semalam.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menzahirkan kesyukuran program berkenaan dapat dilaksanakan sewaktu peralihan fasa ke endemik yang memberi kelonggaran buat umat Islam melaksanakan tanggungjawab beribadat di bulan Ramadan ini.

"Sebagaimana kita tahu bahawa bahawa al-Quran merupakan kitab yang mengandungi pelbagai mukjizat yang tidak pernah berakhir.

"Ia diibaratkan sebagai sumber mata air yang tidak pernah habis dan samudera yang tidak pernah surut.

"Nuzul Al-Quran menjadi perakuan akan kerasulan dan perjuangan Nabi Muhammad SAW dalam membawa misi Islam yang penting kepada umat manusia untuk mentauhidkan serta mengabdikan diri kepada Allah SWT," katanya.

Dr. Ahmad Samsuri bersama-sama dengan kepimpinan kerajaan negeri yang lain termasuk pegawai-pegawai kerajaan memulakan majlis dengan solat Isyak dan solat tarawikh secara berjemaah.

Masjid Kristal yang terletak di Taman Tamadun Islam Pulau Wan Man kini kembali beroperasi seperti biasa sejak awal Ramadan lalu setelah proses kerja-kerja baik pulih selesai berikutan tergendala sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.


Tag: