• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Al-Quran Perlu Sentiasa Dipelajari

DUNGUN, 19 Julai -Kandungan al-Quran mestilah sentiasa dipelajari sebagaimana perlunya kitabullah itu dibaca setiap hari dan difahami maksudnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun kecewa dengan sikap setengah masyarakat yang beranggapan sudah memadai ianya dipelajari ketika kecil dahulu.

"Ada yang kata tidak perlulah lagi belajar al-Quran, membetulkan bacaan dan mendalami maksudnya, sedangkan ianya sentiasa perlu dipelajari kerana ilmu ini makin banyak kita pelajari makin banyak yang kita tidak tahu," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan tazkirah ringkas pada Majlis Sekampit Beras, Seekor Ayam kepada 75 orang penerima sempena Program YB Rantau Abang Bersama Rakyat di Unit Daerah Mengundi (UDM) Taman Permint di Surau Taman Permint Indah di sini.

Penerima yang turut menerima sebungkus juadah sarapan pagi merupakan penduduk tamanvperumahan sekitar Taman Permint Indah, Jalan Intan dan Kampung Alor Tempoyak. 

Selain itu tambahnya lagi, sebagai seorang Islam , tutur kata juga mestilah dijaga agar tidak terpesong aqidah. 

"Dunia akhir zaman ini, banyak menguji iman kita, kerana wang ringgit sangat gadaikan agama," katanya. 

Program yang bertujuan untuk mendekati penduduk di situ itu  juga menziarah 60 buah rumah, sementara 50 buah motosikal mengambil bahagian dalam slot 'Tukar Minyak Hitam Motosikal' dan lebih 20 orang hadir di Majlis Bacaan Yasin di rumah salah seorang penduduk di UDM itu. 

 

 


Tag: