• 30 Apr 2024 | 21 Syawal 1445

Amal Gaya Hidup Sihat Realisasi TMBS

Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ketika ditemui di Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Terengganu 2018 di Dataran Batu Buruk, hari ini (13 Oktober). Foto - Afif Fidee
KUALA TERENGGANU - Kerajaan Negeri Terengganu menyeru seluruh rakyat untuk sama-sama meningkatkan inisiatif dalam mengubah gaya hidup ke arah yang lebih sihat dan cergas seiring dengan prinsip Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan sentiasa berusaha dan menyediakan kemudahan kepada rakyat negeri Terengganu agar berpeluang untuk melibatkan diri dalam sukan.

"Semoga dengan adanya Hari Sukan Negara ini akan memupuk semangat untuk bersukan dalam mengamalkan gaya hidup yang sihat.

"Kita juga mengharapkan lebih ramai yang serius dalam sukan sehingga menjadi atlet yang dapat mewakili Terengganu dan juga Malaysia.

"Alhamdulillah, baru-baru ini Terengganu muncul sebagai juara Sukan Malaysia (SUKMA) 2018, kita memerlukan lebih ramai atlet berkualiti untuk mengekalkan kejuaraan pada SUKMA akan datang.

"Anda mungkin salah seorang daripadanya," katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Terengganu 2018 di Dataran Batu Buruk, hari ini (13 Oktober).

Dalam perkembangan yang sama, menurut Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, terdapat pelbagai acara yang dilaksanakan di Dataran Batu Buruk pada hari ini.

"Antaranya adalah Fun Ride, Fun Run 5 km, Fun Walk 3 km, senamrobik, e-sport, sukan tradisional, pertandingan sepak penalti, pertandingan ‘soccer kids’ tadika Kemas, ‘shooting on goal netball’, pertunjukan lompat tali dan permainan ‘bar steel’.

"Ada juga pameran daripada Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Majlis Belia Negeri Terengganu dan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu.

"Marilah semua kita sihatkan tubuh badan. Syabas kepada keluarga, orang kurang upaya (OKU), belia, warga emas, pelajar sekolah, pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), kakitangan kerajaan, kakitangan swasta dan lain-lain yang cakna tentang gaya hidup sihat," tambahnya.


Sementara itu, katanya, Hari Sukan Negara diilhamkan sebagai satu hari ikonik tahunan rakyat Malaysia yang dilaksanakan pada setiap hari Sabtu minggu kedua bulan Oktober.

"Ianya berjalan secara serentak di seluruh negara bagi meraikan dan mengiktiraf penglibatan rakyat dalam aktiviti sukan, seterusnya menjadikannya sebagai satu gaya hidup di kalangan rakyat Malaysia," tambahnya.

Tag: