• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Amzad Turun Padang Tinjau Banjir Kilat

KUALA TERENGGANU, 23 Januari - Hujan lebat berterusan sejak petang Isnin menyebabkan beberapa laluan, kawasan perumahan dan sekolah di sekitar daerah Kuala Terengganu dilanda banjir pada pagi ini.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Jelani Sulong berkata, setakat jam 9 pagi ini sebanyak enam buah sekolah dalam daerah Kuala Terengganu ditutup kerana dinaiki air.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Amzad Hashim telah turun padang melihat kawasan-kawasan banjir dan melawat rumah penduduk yang telah dinaiki air sekitar Kuala Terengganu.

"Saya telah mengarahkan staf saya di pejabat untuk siap sedia hadapi apa sahaja kemungkinan yang berlaku. Kebiasaannya ada rakyat yang terputus bekalan makanan ketika banjir," katanya ketika dihubungi hari ini.

Buat masa ini, kerja-kerja membuka laluan tali air tidak dapat dilakukan kerana air pasang yang bertembung dengan air hujan yang banyak.

Datuk Amzad Hashim turut berpesan kepada ibu bapa untuk sentiasa memantau keselamatan anak-anak.

"Tiba musim banjir ni, anak-anak kecil seronok dapat bermain air dengan rakan-rakan.

"Kita bimbang keselamatan mereka, tidak mahu kejadian yang tidak diingini berlaku," tambahnya lagi.


Tag: