KEMAMAN, 16 September – Anak jati Bukit Kuang, Kijal, Maizaturizwana Mohd Ridzuan, 19, melakar sejarah peribadi apabila terpilih mewakili negara ke Youth World Netball Championship 2025 yang akan berlangsung di Sepanyol pada 19 hingga 25 September ini.
Pelajar Pra Universiti Sekolah Sukan Malaysia Pahang itu mula menceburi sukan bola jaring sejak berusia 10 tahun hasil dorongan ibunya.
“Minat saya terhadap bola jaring mula bercambah sejak kecil kerana dorongan ibu yang selalu membawa saya ke gelanggang, melatih serta mendedahkan saya kepada laluan untuk mengembangkan bakat.
"Antara pencapaian tertinggi saya ialah mewakili negara ke Kejohanan Bola Jaring Remaja Dunia, menyarung jersi pasukan Terengganu Marvell selama dua tahun berturut-turut dalam Liga Bola Jaring Kebangsaan, selain pelbagai pencapaian lain di peringkat negeri dan kebangsaan," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini.
Mengulas mengenai kenangan paling tidak dapat dilupakan, Maizaturizwana mengakui berasa kecewa apabila tidak terpilih menyertai kejohanan di Seoul, Korea sebelum ini.
Namun, ia tidak menjadi penghalang, sebaliknya menjadi pembakar semangat untuknya terus berusaha
Katanya lagi, harapan masa depannya adalah untuk menjadi seorang pendidik serta jurulatih bola jaring negara.
“Untuk kejohanan di Sepanyol ini, saya berharap dapat mengekalkan ketahanan mental dan fizikal.
"Walaupun berdepan perbezaan cuaca, seterusnya bersedia menggalas cabaran negara dan mengharumkan nama Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris, turut meraikan kejayaan Maizaturizwana dengan menyampaikan sedikit sumbangan sebagai tanda sokongan.
“Ini satu kebanggaan buat DUN Kijal, khususnya Bukit Kuang, kerana anak muda kita berjaya melangkah ke pentas dunia.
“Saya doakan agar adik Maizaturizwana terus bersemangat dan pulang dengan kejayaan. Amin,” ujarnya.
