• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Anak Jati Terengganu Juara Debat Antarabangsa

KUALA TERENGGANU, 10 Jun – Anak jati Terengganu, Wan Amzar Izzuddin Wan Mohd Azlan dinobatkan sebagai pendebat terbaik dalam Pertandingan Debat Bahasa Arab Antarabangsa Piala Syed Abdul Rahman Aljunied di Singapura baru-baru ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, menyampaikan ucapan tahniah kepada Wan Amzar atas kejayaan cemerlangnya. 

Beliau menyatakan bahawa pencapaian pelajar Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin (SMAASZA), Batu Buruk, itu bukan sahaja membanggakan negeri tetapi juga seluruh rakyat Terengganu.

“Syabas saudara Wan Amzar yang juga merupakan ADUN Belia Terengganu kelahiran Besut. Kejayaan ini membuktikan kemampuan anak Terengganu untuk bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya dalam satu hantaran di laman facebook rasminya semalam.

Menurut Samsuri, kemenangan itu bukan pencapaian biasa kerana Wan Amzar berjaya mengalahkan pendebat-pendebat terbaik dari pelbagai negara.

Beliau berharap kejayaan tersebut akan menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk terus cemerlang.

Tahun lalu katanya, Wan Amzar juga mencipta nama di pentas dunia apabila dinobatkan sebagai peserta terbaik dalam Kejohanan Debat Bahasa Arab Sekolah-Sekolah Antarabangsa di Doha, Qatar. Beliau berjaya menewaskan peserta dari 34 negara Arab dan bukan Arab.

“Kejayaan Wan Amzar itu sekali lagi membuktikan bahawa anak jati Terengganu mampu mencapai kecemerlangan di peringkat global, membanggakan negeri dan negara. 

“Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk terus berusaha dan mencapai kejayaan yang lebih gemilang,” ujarnya.

 


Tag: