• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Anak Syarikat Kerajaan Salur RM100,000 Bantu Pelajar B40

KUALA TERENGGANU, 6 Jun - Anak syarikat kerajaan negeri, TDM Berhad (TDM) terus menunjukkan komitmennya dalam menyokong pendidikan dengan menyalurkan RM100,000 kepada pelajar cemerlang B40 melalui Biasiswa 'YT-TI Young Talent Scholarship Programme'.

Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin, berkata inisiatif tersebut adalah salah satu Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) TDM dalam usaha menyokong pembangunan pendidikan, sejajar dengan misi syarikat untuk menjadi model korporat yang bertepatan dengan status Patuh Syariah. 

“Kami juga menyokong rangka kerja Persekitaran, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG) yang memberi impak positif kepada perniagaan dan komuniti tempat kami beroperasi. 

“Usaha ini selaras dengan Agenda Pembangunan Mampan dan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDGs), terutamanya SDG 4 yang memberi tumpuan kepada penyediaan akses pendidikan berkualiti dan SDG 8 yang menggalakkan pertumbuhan ekonomi mampan,” katanya melalui kenyataan media selepas majlis Menandatangani Perjanjian yang berlangsung di Wisma Darul Iman baru-baru ini.

Majlis perjanjian tersebut dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan, Dato’ Ustaz Satiful Bahri Mamat dan disaksikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja merangkap Pengerusi TDM, serta Penasihat Undang-Undang Negeri Terengganu, Dato’ Razali Che Ani.

Tambah Najman, TDM bersama-sama Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) lain di bawah Kumpulan Terengganu Inc (TI) berperanan sebagai pelengkap dalam penyediaan dana kepada program penajaan Yayasan Terengganu (YT). 

“Tahniah diucapkan kepada sepuluh pelajar yang berjaya mendapat biasiswa pada hari ini.

“Biasiswa ini memberi fokus kepada kebajikan anak-anak Terengganu, manakala bukan warganegara Terengganu mestilah bermastautin selama 10 tahun atau lebih dengan keutamaan kepada calon yang mempunyai rekod kokurikulum yang baik sekurang-kurangnya di peringkat Negeri atau Kebangsaan," jelasnya.

Beliau berkata, biasiswa YT-TI mensasarkan keluarga berpendapatan rendah atau golongan B40 untuk Ijazah Pertama dan terbuka kepada pelajar lepasan Asasi atau Matrikulasi, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang cemerlang untuk melanjutkan pelajaran ke universiti tempatan dalam bidang pengajian tertentu. 

Tambahnya lagi, antara bidang yang ditawarkan melalui biasiswa itu ialah Kecerdasan Buatan (AI), Sains Data (Big Data), Undang-Undang, Muamalat, Pentadbiran Korporat, Sains Kesihatan (Fisioterapi), dan Perladangan.

“Program-program ini memenuhi keperluan pasaran pekerjaan bertaraf dunia dan menyumbang kepada tenaga kerja berprestasi tinggi. 

“Menerusi program penajaan Biasiswa YT-TI ini, TDM berharap lebih ramai anak-anak Terengganu daripada keluarga B40 berpeluang melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi dalam usaha meningkatkan tahap sosioekonomi keluarga mereka,” ujarnya.

 


Tag: