• 11 Mei 2024 | 3 Zulkaedah 1445

Anwar, Dr Sam Bakal Adakan Pertemuan Empat Mata

KUALA TERENGGANU, 28 April – Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar bakal mengadakan pertemuan empat mata bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum Majlis Sambutan Aidilfitri Madani, 9 Mei depan.

Ahmad Samsuri berkata pihaknya menyambut baik kedatangan Kerajaan Persekutuan sempena sambutan itu.

Katanya, program tersebut merupakan kerjasama antara kerajaan persekutuan dan negeri.

“Saya difahamkan akan diadakan sesi khusus kerajaan negeri bersama Perdana Menteri dan juga sesi khusus pertemuan empat mata antara Menteri Besar Terengganu dan Perdana Menteri,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika Sidang Media Selepas Penyerahan Memorandum Berkaitan Isu Royalti Terengganu bertempat di Wisma Darul Iman di sini baru-baru ini.

Untuk rekod, dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-15 minggu lalu, Ahli Dewan sebulat suara meluluskan usul menolak Akta Laut Wilayah 2012.

Ahmad Samsuri berkata penolakan terhadap penguatkuasaan Akta Laut Wilayah 2012 kerana ia diperalat pihak tertentu untuk menafikan hak negeri menerokai sumber dan hasil melalui sempadan maritim negeri sekadar tiga batu nautika sahaja dari garis air surut wilayah Terengganu.

"Perkara 2 (b) menyatakan bahawa undang-undang yang mengubah sempadan sesuatu negeri tidak boleh diluluskan tanpa persetujuan negeri itu (yang dinyatakan melalui undang-undang yang dibuat oleh Badan Perundangan Negeri itu) dan Majlis Raja-Raja.

"Perkara 38 (4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa tiada undang-undang yang secara langsung menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.

"Tindakan kerajaan Persekutuan menyatakan negeri hanya berhak terhadap tiga batu nautika sebenarnya telah merampas hak kedaulatan negeri terutamanya yang berkait hasil mahsulnya," katanya.


Tag: