• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Armalah Perkasa Ibu Tunggal

Tuan Faizah Tuan Abdul Rahman ketika berucap merasmikan Program Penubuhan Kelab Ibu Tunggal (Armalah) Ru Rendang sdi Perpusatakaan Awam Daerah Marang, hari ini (15 Oktober).
Oleh: Aslam Wira

MARANG - Penubuhan Kelab Ibu Tunggal (Armalah) Ru Rendang bakal menyediakan suatu ruang dan peluang yang boleh digunakan untuk memajukan ibu-ibu tunggal yang berada dalam kelompok kelab itu sendiri.

Isteri Menteri Besar Terengganu, Tuan Faizah Tuan Abdul Rahman berkata, masyarakat mesti peka bahawa melalui pertubuhan Armalah ini, di dalamnya terdapat banyak rangka yang boleh dimanfaatkan.

"Ianya termasuklah pemerkasaan ekonomi ibu tunggal dalam menjana sumber pendapatan sendiri," ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Penubuhan Kelab Ibu Tunggal (Armalah) Ru Rendang di Perpustakaan Awam Daerah Marang, hari ini (15 Oktober).

Menurut Tuan Faizah yang juga Pengerusi Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Isteri Bekas Wakil Rakyat Parti Islam Se-Malaysia Terengganu (Khairunnisa'), ibu tunggal adalah insan istimewa yang dipilih oleh Allah.

"Istimewanya mereka ini kerana mampu menggalas tanggungjawab yang ditinggalkan sang suami dengan cerita tersendiri," katanya.

Dalam perkembangan yang sama, program tersebut turut membincangkan beberapa perkara berkenaan perancangan yang akan diadakan di dalam kelab ibu tunggal tersebut.

Antaranya dari sudut ekonomi termasuk peluang menjana pendapatan sendiri seperti menjahit, memasak dan mencipta produk sendiri.

Program yang berunsur rohani dan jasmani juga tidak ketinggalan.

"Saya berharap dengan penubuhan Armalah ini, ibu-ibu tunggal dapat melibatkan diri secara langsung dengan program dan kursus yang disediakan supaya dapat memajukan diri serta mengambil peluang lebih-lebih lagi dalam bidang keusahawanan," tambahnya.


Seramai 193 orang hadir ke program ini di mana 163 peserta adalah ibu tunggal dan 30 orang merupakan wakil wanita dari Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dalam DUN Ru Rendang.

Turut hadir, Pegawai Seranta Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Negeri Terengganu, Faridah Omar, Pegawai Seranta Beliawanis i-MiTS Negeri Terengganu, Tengku Fatimah Tengku Hashim, Ahli Majlis Daerah Marang, Wan Mariam Wan Jusoh dan Ketua Halwa DUN Ru Rendang, Azizah Mohd Yusuf.

Tag: