• 25 Nov 2020 | 9 Rabiul Akhir 1442

‘Aryan Nak Pindah Rumah Baru’

KUALA TERENGGANU, 27 Oktober- “Sampai sekarang saya masih tidak dapat terima kerana Aryan pergi dalam keadaan sihat, tidak sangka secepat ini dia meninggalkan kami sekeluarga,” kata Nurul Amelia Ali, 34, ibu kepada Mohamad Aryan Defa Danish Mohd Azizul,6, yang maut setelah tergelincir dari tingkat 15 flat Ladang Gemilang 1 Ahad lalu.

Meskipun reda dengan pemergian anak tersayang, setiap detik terakhir bersamanya pasti akan dikenang sepanjang hayat.

“Selepas Aryan tiada saya sangat sedih dan asyik menangis, hanya baju dan gambar dia menjadi pengubat rindu, hari ini baru saya kuat sedikit dan boleh berdepan dengan orang ramai,” ujarnya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat di rumah datuk arwah di Jalan Kenanga Batu Burok, semalam.

Nurul Amelia.

Rombangan yang diketuai oleh Hanafiah itu turut menghulurkan sedikit sumbangan dan melahirkan rasa simpati terhadap kejadian yang berlaku selain memberikan kata-kata semangat kepada ibu bapa mangsa.

Berkongsi pilunya, Nurul Amelia berkata, pagi sebelum kejadian tidak banyak perubahan ketara ditunjukkan Aryan, cuma anak ketiga daripada empat beradik itu asyik bercakap hendak ke rumah baru.

“Ketika bermain dengan adiknya, Aryan bagi tahu nak pindah rumah baru, dia juga banyak duduk di atas sofa dan merenung tingkap cermin tempatnya terjatuh.

“Semasa kami sama-sama kemas rumah pagi tu, Aryan juga tiba-tiba bersalaman dengan saya, memang tidak sangka ia seolah-olah petanda Aryan akan meninggalkan kami,” katanya.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, mangsa dikatakan terjatuh dari tingkap di ruang tamu ketika tinggal bersendirian di rumah. 

Menurut ibunya, mangsa ditinggalkan seketika di rumah kerana tidur manakala dia bersama anak bongsu yang berusia empat tahun keluar membeli barang di kedai berdekatan.

Katanya, kejadian itu hanya disedari semasa dalam perjalanan pulang ke rumah selepas dihubungi suaminya, Mohd. Azizul Mohamad, 35, yang ketika itu bekerja luar daerah di Dungun.


Tag: