Aset Koperasi Di Terengganu Cecah RM700 Juta

KUALA TERENGGANU, 2 Februari – Gerakan koperasi di Terengganu semakin berkembang dengan 839 koperasi berdaftar melibatkan lebih 240,000 ahli dan aset bernilai RM700 juta.  

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, koperasi memainkan peranan penting dalam membantu ekonomi rakyat, terutama dalam keusahawanan dan kebajikan.

 "Koperasi ini milik masyarakat dan jika diurus dengan baik, ia boleh memberi manfaat besar kepada ahli serta komuniti," katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Kedai Serbaneka Koperasi Masjid bertempat di Masjid Padang Mengkuang, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Terengganu, Awang Ruslli Mohammad.

Sementara itu, Awang Ruslli berkata, pihak SKM menyediakan pelbagai bantuan kepada koperasi.

"Bantuan tersebut seperti geran percuma hingga RM300,000 dan pinjaman tanpa cagaran hingga RM200,000.

 "Tahun lalu saja, lebih RM100 juta pinjaman diberikan kepada koperasi di Terengganu. Ini membuktikan potensi besar koperasi dalam menjana ekonomi rakyat.

"Di Terengganu ada lebih 500 masjid. Jika setiap masjid ada koperasi dan jalankan aktiviti ekonomi, kita boleh lihat perubahan besar dalam ekonomi umat Islam," ujarnya.


Tag: