• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Atam Dan Davic Juara King Of Sado

Dr Azman Ibrahim (kiri) bersama seekor lembu sado yang dipertandingkan.
Oleh: Hidayah Azlin

KUALA TERENGGANU, 28 Oktober - Atam, lembu baka Belgian Blue seberat 912 kg milik Ibrahim Mohamad dari Kampung Gong Pak Maseh Kuala Terengganu muncul juara pertandingan lembu sado kategori sado senior sempena Road To Malaysia Agriculture, Horticulture and Agroturism Show (MAHA) 2018 dengan menewaskan 15 peserta lain.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, lembu sado bakal diberi tumpuan oleh Pejabat Veterinar Terengganu untuk dikembangkan kerana berpotensi pada masa hadapan.

"Ada beberapa pelan perancangan di pihak portfolio pertanian dan industri asas tani untuk menjadikannya sebagai industri yang boleh menjana pendapatan untuk rakyat," katanya.

Lembu jantan berwarna hitam berusia 4 tahun 2 bulan berharga 17 ribu ringgit ternyata cukup sado untuk ditandingi oleh peserta lain.

Sementara Davic dari baka Limousine milik Mohd Taufik Mohamad Nor dari Kerteh Kemaman muncul Naib Juara. Davic yang mempunyai berat badan 876 kg bernilai 18 ribu ringgit juga seusia dengan Atam, 4 tahun 2 bulan.

Pameran dan Pertandingan Lembu Sado ini sebagaimana dijangka telah menjadi 'wow factor' yang paling mencuri tumpuan pengunjung Road To MAHA telah disertai 16 ekor lembu sado dari semua daerah dalam negeri Terengganu.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyampaian Hadiah Road To MAHA di perkarangan Pejabat MARDI, Manir, semalam.


Juara pertandingan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM 1,500 manakala naib juara dihadiahkan wang tunai RM 1,000 beserta piala dan sijil.

Menurut Dr Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi, terdapat 70 gerai  termasuk pameran dan jualan dari pelbagai agensi dan jabatan dari seluruh Negeri Terengganu dikunjungi peserta sepanjang tiga hari tersebut.

"Insya-Allah program ini akan disambung ke peringkat nasional di MAEPS Serdang, Selangor pada 22 November sehingga 2 Disember nanti," ujarnya.

"Saya berharap pengunjung yang hadir dapat mengambil manfaat dari pelbagai jualan, pameran, seminar dan lain-lain acara yang julung kali diadakan di Negeri Terengganu," tambahnya.


Antara pameran dan acara yang mencuri tumpuan ialah lembu sado, penyu comel, anak pokok, anak benih dan demo sate ikan aye (tongkol).

"Jualan happy hour juga berjaya menarik tumpuan dengan kadar diskaun sebanyak 10%," jelasnya.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Ustaz Hilmi Harun dan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Terengganu, Dr Mohd Termizi Ghazali.


Tag: