KUALA TERENGGANU, 11 Ogos – Atlet Silambam Negeri Terengganu yang bakal beraksi pada Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 bukan sahaja dituntut mengharumkan nama negeri dalam bidang sukan, malah akan berperanan sebagai Mini Duta Pelancongan Terengganu.
Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu Dato’ Tengku Mohd Arifin Tengku A. Rahman berkata, peranan itu penting bagi memberi peluang kepada atlet memperkenalkan keunikan Terengganu kepada rakan-rakan atlet, pegawai dan masyarakat dari seluruh negara sepanjang berada di Selangor.
Menurutnya, atlet boleh memanfaatkan jaringan persahabatan dalam dunia sukan untuk mempromosikan pelbagai tarikan pelancongan negeri termasuk pulau dan pantai, Tasik Kenyir, alam semula jadi, seni budaya, warisan serta makanan tradisional Terengganu.
“Kalau orang bertanya, kamu dari mana, jawablah dengan penuh bangga, ‘Saya dari Terengganu Darul Iman’.
“Kemudian ceritakan kepada mereka tentang keistimewaan negeri kita dan ajak mereka datang sendiri ke Terengganu,” jelasnya.

Katanya, peranan atlet sebagai Mini Duta Pelancongan itu turut selari dengan persiapan kerajaan negeri menjelang Tahun Melawat Terengganu 2027.
“Setiap rakyat Terengganu adalah duta kepada negerinya. Anak-anak atlet semua juga sebahagian daripada usaha tersebut.
“Gunakan peluang yang ada untuk berkongsi gambar, video dan pengalaman tentang Terengganu melalui media sosial serta memperkenalkan destinasi, makanan, budaya dan warisan kita,” ujar beliau.
Dalam perkembangan sama, kontinjen Silambam Terengganu turut menyasarkan dua pingat emas, tiga perak dan tiga gangsa pada SUKMA XXII Selangor 2026.

“Apabila anda turun ke gelanggang, ingatlah bahawa anda bukan sahaja membawa nama sendiri, tetapi membawa nama keluarga, jurulatih, pasukan, Dungun dan Negeri Terengganu.
“Kita mungkin tidak boleh menjanjikan kemenangan, tetapi kita boleh menjanjikan perjuangan. Menang adalah impian, tetapi memberikan yang terbaik adalah tanggungjawab,” katanya.
Dalam pada itu, Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu sebagai Jabatan Angkat bagi Sukan Silambam Negeri Terengganu turut menyatakan komitmen untuk memberikan sokongan moral dan motivasi kepada kontinjen berkenaan.
Justeru itu, beliau berharap seluruh kontinjen dapat menjaga nama baik Terengganu, menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi dan menjadikan penyertaan di SUKMA sebagai pengalaman untuk terus melakar kejayaan dalam bidang sukan.
“Percayalah kepada diri sendiri, percaya kepada jurulatih dan percaya kepada pasukan. Jadilah juara yang mempunyai nilai, disiplin dan jati diri,” tambah beliau.