Jalur Gemilang
Berita :
Audit Tegur 'Breakwater' Lewat Siap, Terengganu Harap Persekutuan Segerakan Projek
Audit Tegur 'Breakwater' Lewat Siap, Terengganu Harap Persekutuan Segerakan Projek
Noraini Jusoh
2 jam yang lepas
125

KUALA TERENGGANU, 6 Oktober – Kerajaan Terengganu berharap Kerajaan Persekutuan dapat menyegerakan penyiapan projek pengawalan hakisan pantai di negeri ini dengan mengambil kira faktor Monsun Timur Laut (MTL) yang mengehadkan tempoh kerja pembinaan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keadaan cuaca di Pantai Timur ketika musim monsun boleh menyebabkan kerja di kawasan pantai terpaksa dihentikan sehingga keadaan kembali baik.

“Dengan kehadiran musim monsun yang bermula bulan ini atau bulan depan, projek-projek kawalan hakisan akan terganggu dengan teruk dan hanya boleh disambung semula seawal Mac atau April tahun depan.

“Bayangkan dalam setahun, tempoh yang boleh digunakan sepenuhnya untuk menjalankan kerja-kerja pembinaan menjadi terhad,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Peringkat Negeri Terengganu bagi Tahun 2026 di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas teguran Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2026 berhubung kelewatan pelaksanaan Projek Pengawalan Hakisan Pantai Kuala Nerus oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Menurut laporan itu, projek berkenaan mengalami kelewatan sebanyak 15.7 peratus atau 144 hari akibat kekurangan jentera serta ketiadaan aktiviti pembinaan di struktur pemecah ombak nombor 1, 2, 3 dan 9.

Audit turut mengenal pasti kelewatan kontraktor mendapatkan kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) bagi skop penambahan pasir pantai.

Sehubungan itu, Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi menekankan keperluan memperkukuh koordinasi antara Jabatan Kerja Raya (JKR) dan JPS supaya pemecah ombak nombor 7 dan 8 dapat disiapkan segera sebelum musim MTL bagi mengelakkan jalan yang telah dibaiki di kawasan itu runtuh semula.

Mengulas perkara itu, Ahmad Samsuri berpendapat, faktor cuaca perlu diambil kira dalam menilai kelewatan projek, selain kemampuan agensi pelaksana yang bertanggungjawab menjalankan kerja berkenaan.

Katanya, pelaksanaan projek kawalan hakisan di Pantai Timur lebih mencabar berbanding Pantai Barat berikutan gangguan musim monsun.

“Atas sebab itu, saya berpandangan projek-projek sedemikian di Pantai Timur, khususnya negeri yang berdepan isu hakisan pantai perlu diberi pertimbangan supaya boleh dilaksanakan dengan segera,” katanya.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan