• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Awas! Kaki Ponteng Puasa, Anda Diperhati

Oleh: Aslam Wira

MARANG, 19 Mei - Ops Ramadan seperti terjahan dan serbuan ke lokasi-lokasi panas kaki ponteng puasa termasuk kawasan aduan orang ramai akan terus dilakukan dari semasa ke semasa sepanjang Ramadan.

Ketua Pertubuhan Amar Maaruf Nahi Mungkar Marang (Skuad Amar), Nasaruddin Samsudeng berkata, walaupun individu yang tidak berpuasa di Terengganu khususnya Marang tidak ramai seperti tempat lain, pihaknya tetap bertanggungjawab untuk menjadikan daerah itu sifar kes ponteng puasa.

“Golongan ini ada di mana, jadi di sini kita jalankan serbuan dan terjahan ke tempat ‘panas’, ia bagi memberi kaunseling, amaran keras dan tindakan tegas kepada mereka yang tidak menghormati bulan Ramadan.

“Kami menerima beberapa aduan daripada orang ramai tentang kewujudan mereka yang tidak berpuasa malah ada yang berani melanggar hukum Allah secara terang-terangan,” ujarnya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas melakukan serbuan bersama Pegawai Penguatkuasa Syariah (PPS) Pejabat Agama Daerah Marang dan Sukarelawan Syariah di beberapa kawasan panas.

Sementara itu, kata Nasaruddin, serbuan ke sebuah kedai yang menjual makanan kepada mereka yang tidak berpuasa turut dilakukan.

Amaran telah dikeluarkan kepada penjual supaya mengikuti peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa iaitu kebenaran berniaga selepas jam 3.00 petang.

“Mereka yang bersubahat telah diberikan amaran tegas, serta nasihat kaunseling agar tidak mengulanginya lagi,” tegasnya.

Kesalahan tidak berpuasa atau menjual makanan kepada mereka yang tidak berpuasa akan didakwa di bawah Seksyen 19, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) (Pindaaan 2016), yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurutnya lagi, PPS dan Skuad Amar menggesa orang ramai untuk turut sama-sama membanteras aktiviti jenayah syariah ini dan membuat aduan terus supaya dapat diambil tindakan.

“Walaupun dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), pemantauan berterusan akan terus dilakukan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang melakukan jenayah syariah ini,” tambahnya.


Tag: