• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Awasi Keselamatan, Peka Kawasan Berisiko Lemas

Orang ramai dinasihat agar tidak terpedaya dengan ombak yang kelihatan tenang.

Oleh : Hidayah Azlin

SETIU, 19 Januari - Orang ramai termasuk pengunjung yang bercuti di Terengganu dinasihatkan agar berhati-hati dan mengelakkan diri daripada menghampiri kawasan berisiko tinggi berlakunya lemas.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, suasana dan keadaan cuaca di negeri itu masih belum stabil dan berada dalam tempoh ‘edah’ musim tengkujuh.


Katanya, ombak yang beralun tenang di permukaan laut bukanlah petanda pantai itu selamat untuk aktiviti mandi-manda kerana terdapat beberapa faktor yang boleh mengancam keselamatan pengunjung.

“Keluarga yang balik bercuti di Terengganu terutamanya pada cuti Tahun Baharu Cina nanti perlu berhati-hati, sebarang aktiviti atau program seperti kem motivasi di tepi pantai, perkelahan keluarga perlu dihentikan sementara.

“Musim tengkujuh di pantai timur belum berakhir walaupun laut nampak tenang, ombak besar boleh datang tanpa dijangka. Ia boleh menjadi perangkap maut kepada pengunjung.


Walaupun sekadar berada di gigi air, kuasa tarikannya boleh mengheret mangsa ke dalam laut dan merisikokan berlaku lemas sehingga meragut nyawa,” jelasnya dalam satu kenyataan semalam.

Mengulas lanjut, beliau bagaimanapun berkata, kesemua aktiviti tersebut boleh dilakukan kembali sebaik sahaja peralihan Monsun Timur Laut (MTL) berakhir.

“Biasanya bulan Mac barulah edah musim tengkujuh berakhir. Aktiviti laut dan air terjun boleh diteruskan macam biasa namun ia juga memerlukan pengawasan. 


Memang malang tidak berbau tetapi jangan kita sengaja mencari malang, pekalah terhadap sebarang kemungkinan” katanya.

Pada Jumaat lepas, Terengganu dikejutkan dengan kejadian empat pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin Dungun dikhuatiri lemas selepas ditarik ombak semasa mandi di pantai Teluk Bidara, Dungun.


Manakala seminggu sebelum itu, dua pelajar Universiti Teknologi MARA Cawangan Chendering lemas di Pantai Pandak.


Tag: