• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Azam Azmi Dinobat Pertahanan Terbaik Tewaskan Duo JDT

KUALA TERENGGANU, 26 Mac – Pertahanan Terengganu FC (TFC), Azam Azmi Murad dinobat sebagai Pertahanan Terbaik dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) untuk tahun 2023 yang berlangsung semalam.

Menurut kenyataan rasmi Malaysian Football League (MFL) berkata Azam berjaya menewaskan dua lagi finalis bagi kategori pertahanan terbaik iaitu Feroz Baharudin dan Corbin Ong dari Pasukan Johor Darul Takzim (JDT).

Katanya, tiga finalis tersebut telah disenarai pendek daripada 10 calon bagi kategori berkenaan.

“Antaranya, Azam Azmi dan Shahrul Nizam dari Terengganu, Dominic Tan dan Rizal Ghazali dari Sabah, Feroz Baharudin, Corbin Ong dan Matt Davies dari JDT, Kamal Azizi dari KL City, serta Quentin Cheng dan Sharul Nazeem dari Selangor.

“Untuk rekod bagi edisi ABK22 pada musim lalu, kategori ini telah dirangkul oleh pemain pertahanan dari JDT iaitu Shahrul Saad namun kini gelaran itu disandang oleh pemain muda negara yang sedang meningkat naik iaitu Azam Azmi Murad,” ujar kenyataan itu.

Sementara itu, pemain muda Terengganu FC, Ubaidullah Shamsul Fazili turut mencuri tumpuan selepas berjaya memenangi Anugerah Pemain Terbaik Piala MFL yang juga merupakan kategori baharu untuk kejohanan yang kali pertama dipertandingkan pada musim 2023.

“Alhamdulillah untuk anugerah ini dan saya nak ucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan Terengganu, barisan jurulatih, rakan-rakan sepasukan yang banyak membantu perjalanan kami di Piala MFL.

“Terima kasih juga kepada MFL yang menyediakan platform kejohanan ini khusus buat pemain-pemain muda buat kali pertama pada tahun lalu,” kata Ubaidullah.

Anugerah Fair Play pula dimenangi Pasukan Terengganu FC manakala anugerah Fan XI Malaysia 2023 yang ditentukan menerusi undian penyokong dimenangi oleh Azam Azmi Murad dan Mohamad Shahrul Nizam Ros Hasni daripada TFC.

 

 

 


Tag: