• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Bacaan Bersanad Sahih Bukhari Ikhtiar Tangani COVID-19

KUALA TERENGGANU, 10 Jun - Kerajaan negeri memperkenalkan Majlis Bacaan Bersanad Sahih Bukhari sebagai salah satu ikhtiar rohani dalam menangani pandemik COVID-19.

Pengarah Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT), Ramlan Mahmood berkata, program secara atas talian atau webinar itu bermula sejak 7 Jun lalu dari pukul 9 hingga 11 pagi.

"Ia berlangsung setiap hari, alhamdulillah setakat ini ia telah mendapat sambutan yang amat memuaskan daripada rakyat negeri ini.

"Sambutan pada hari pertama ini cukup membanggakan dengan penyertaan seramai 500 orang yang turut serta menerusi aplikasi webinar," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Ramlan berkata, majlis bacaan hadis akan berterusan sehingga sepanjang pelaksanaan PKP 3.0 ditamatkan pihak kerajaan. 

"Penyampainya, Tuan Guru Haji Suhaimi Haji Daud akan bersiaran setiap hari dan orang ramai yang tidak dapat mengikutinya di aplikasi webinar, boleh mengikutinya secara langsung di laman facebook Akademi DUAT.

"Secara dasarnya, majlis ini merangkumi tiga fasa iaitu Majlis Tasmi' Hadis Haqiqi (bersama pelajar tuan guru), Majlis Sama' Hadis (peserta Webinar) dan Majlis Sama' Hadis Awam (laman Facebook)," tambah beliau.

Katanya lagi, bagi meningkatkan kesedaran awam tentang kepentingan pengajian ilmu di musim wabak ini, jabatannya telah menyusun pelbagai program yang boleh dirujuk menerusi laman sosial Akademi DUAT.

"Kami menyeru rakyat agar tidak ketinggalan dalam menambahbaik ilmu agama dalam diri kita, keluarga dan masyarakat seluruhnya," tambah beliau.


Tag: