• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

BAJET 2018 : Terengganu Sambut Baik Usaha Selenggara Pendawaian Tahfiz Di Seluruh Negara



Pengumuman peruntukan RM50 juta oleh Perdana Menteri Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak supaya GiatMara membaik pulih dan menyelenggara sistem pendawaian di semua sekolah tahfiz berdaftar di negara ini dalam Bajet 2018 dijangka dapat memartabatkan lagi institusi tahfiz di Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi,  Multimedia dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Ghazali Taib  berkata pengumuman itu membuktikan kecaknaan serta keperihatinan Kerajaan Pusat terhadap  kewujudan institusi tahfiz sebagai satu pusat pendidikan yang memartabatkan  syiar Islam di negara ini.

"Ianya merupakan satu bajet baru dan tentunya menggembirakan bagi seluruh pusat-pusat tahfiz khususnya yang ada dalam negara kita dan sudah pastitTahfiz di Terengganu juga bakal mendapat manfaatnya.

"Secara peribadi,saya menyokong penuh peruntukan disalurkan melalui GiatMara bagi membaikpulih dan menyelenggara sistem pendawaian di semua tahfiz yang berdaftar.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian penutup Program Cinta Negara: Negaraku  Sehati Sejiwa Peringkat Negeri Terengganu 2017 di perkarangan Masjid Kampung Menerong, kelmarin.

Turut hadir Pengarah Jabatan Penerangan Terengganu, Nasrudin Mahmud dan kepimpinan setempat.

Menurut Ghazali lagi, masih banyak keperluan lain lagi harus diberi perhatian ke arah membina dan melahirkan insan kamil dan mukmin yang bertakwa di negara ini.



Mengulas mengenai Program Cinta Negara: Negaraku  Sehati Sejiwa, Ghazali berkata program tersebut dapat meningkatkan semangat patriotisme rakyat untuk lebih menghargai keamanan dan kedamaian dikecapi negara selama ini.

"Ini termasuklah memberi pendedahan kepada penduduk yang terlibat mengenai perancangan Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri pada masa depan untuk manfaat mereka.

"Kehadiran pada hari ini saya anggarkan lebih 1,500 penduduk daripada 13 kampung sekitar di Mukim Hulu Berang dan ianya mendapat sambutan baik daripada masyarakat dengan pengisian pelbagai program,"katanya.



Jelasnya lagi, program itu juga memberi peluang kepada masyarakat untuk mendalami aspirasi negara terutama Transformasi Nasional  2050 yang (TN50)  dicetuskan Perdana Menteri.

Tag: