• 08 Mei 2024 | 29 Syawal 1445

Bajet 2019 : Kejayaan Atlet Terengganu Dirakam Dalam Bajet 2019


 
"Tahniah Atlet Terengganu."-Dr Ahmad Samsuri.

KUALA TERENGGANU, 26 November - Kerajaan merakamkan jutaan tahniah kepada Kontinjen Terengganu kerana berjaya mencapai 'Win Back Mission' dengan menjuarai Sukan Malaysia (SUKMA) di Perak pada bulan September lalu.

Ucapan itu dibuat oleh Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ketika membentang Rang Enakmen Perbekalan 2019 di Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Nageri (DUN) Terengganu di sini semalam.

Katanya, Kontinjen Terengganu telah memenangi 56 pingat emas, 51 pingat Perak dan 53 pingat gangsa.

"Kejayaan ini lebih manis apabila saudari Azreen Nabila Alias telah dinobatkan sebagai Atlet Wanita Terbaik dan saudari Nur Aisyah Mohamad Zubair telah memenangi tujuh pingat emas dalam acara SUKMA Perak 2018," jelasnya.

Kerajaan Negeri juga katanya, mengucapkan tahniah kepada pasukan bola sepak Negeri Terengganu termasuk Terengganu FC (TFC), TFC II, TFC III, TFC IV dan Pasukan Persatuan Bola Sepak Melayu Negeri Terengganu (PBMNT).

Dr Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang berkata, TFC telah berjaya ke Pentas Piala Malaysia 2018.

"Begitu juga , Pasukan TFC II menempah kejayaan juara Piala Cabaran, TFC III menjuarai Piala Presiden dan seterusnya TFC IV merupakan naib juara Piala Belia.

"Bukan it sahaja, PBMNT telah berjaya menjadi naib juara Piala Emas Raja-raja," jelas beliau.

Justeru Menteri Besar mengucapkan syabas dan tahniah buat semua atlet Terengganu sambil berharap agar terus cemerlang di masa akan datang.



Tag: