• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Bajet 2023: Laksana Pembangunan Berkait Infrastruktur, Kemudahan Awam Dan Sosioekonomi

KUALA TERENGGANU, 28 November- Demi kesejahteraan penduduk, Kerajaan Negeri bersetuju menambah peruntukan bagi projek-projek kecil di peringkat DUN kepada RM32 juta untuk melaksanakan pembangunan berkaitan infrastruktur, kemudahan awam dan sosioekonomi setempat.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sebanyak RM108 juta pula diperuntukkan bagi meneruskan Projek Bekalan Air Kuala Terengganu Utara (KTU) agar pengguna domestik, komersial dan industri mendapat air yang berkualiti dan tidak mengalami gangguan bekalan.

"Sesungguhnya saya akui bahawa tanggungjawab untuk memperbaik pengurusan sumber dan perkhidmatan bekalan air adalah tidak mudah kerana adanya pelbagai kekangan dan amat sensitif kepada penduduk. Namun, kerjasama erat dan usaha berterusan terutamanya oleh JBA, SATU dan LAUT telah berjaya mengatasinya satu per satu," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Terengganu 2023 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ke-5 Dewan Undangan Negeri ke-14 (Bajet) di sini hari ini.

Dalam pada itu katanya,  sebanyak RM102 juta  diperuntukkan bagi kerja-kerja penyediaan infrastruktur asas dan bayaran pengambilan tanah untuk membangunkan bandar-bandar baharu di Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Kemaman.

"Sebanyak RM78.65 juta  lagi diperuntukkan bagi membina Kompleks Pentadbiran Majlis Perbandaran Dungun yang baharu dan RM3.1 juta  untuk menaik taraf kemudahan utiliti dan infrastruktur kawasan perindustrian  di Kemaman, Dungun dan Marang.

"Suka juga untuk saya mengumumkan bahawa Dataran Teluk Pasu akan dibangunkan sebagai tempat rekreasi keluarga yang baharu dengan peruntukan sebanyak  RM1 juta  bagi pelaksanaan fasa pertama, " ujarnya.

Ahmad Samsuri berkata, Kerajaan Negeri akan memperkasakan liputan internet di seluruh negeri melalui SKMM dan DNB dengan memfokuskan kepada Pelan Pelaksanaan 5G dan pembinaan struktur telekomunikasi sedia ada dan baharu di 373 tapak. 

"Pelaksanaannya di 178 tapak melibatkan empat daerah akan dimulakan pada tahun hadapan.

"Sebanyak RM2 juta  pula diperuntukkan bagi memperkasakan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) dan ‘Artificial Intelligence’ (AI) di negeri kita menerusi TAJDID, " jelasnya. 

Bagi meningkatkan mutu pengurusan kebersihan dan keindahan bandar pula, beliau memaklumkan Kerajaan Negeri bersetuju menambah peruntukan kepada RM77 juta bagi perbelanjaan berkaitan kontrak kebersihan dan pelaksanaan Program Kebersihan Bandar, pembelian tong sampah, Pertandingan PBT Cemerlang, Program Terengganu Bersih dan Lestari, bantuan sewaan tong sampah RORO serta  Projek Kutipan Sampah. 

Menurut beliau, melestarikan pembangunan merupakan salah satu teras yang digariskan sebagai pendekatan dalam melaksanakan Belanjawan 2023 setelah mengambil kira realiti semasa dan prospek masa hadapan.