KUALA LUMPUR, 17 November – Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh menuntut jaminan konkrit daripada kerajaan bahawa pengurangan ketara peruntukan pemulihan infrastruktur jalan dalam Belanjawan 2027 tidak akan menjejaskan kerja-kerja baik pulih jalan yang rosak akibat banjir di Terengganu, khususnya di daerah Besut.
Beliau membangkitkan perkara itu ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Kerja Raya (KKR) di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut beliau, berdasarkan rekod Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu pada Oktober lalu, sebanyak 460 lokasi di negeri itu dikenal pasti berisiko dilanda banjir susulan Monsun Timur Laut, termasuk 32 lokasi hotspot di daerah Besut yang sering mengakibatkan kerosakan jalan raya dan melumpuhkan aktiviti harian rakyat.
“Namun demikian, dalam anggaran perbelanjaan KKR ini, Butiran 02800 iaitu pemulihan infrastruktur jalan dan jambatan menunjukkan penurunan bajet sebanyak 24 peratus, manakala Butiran 7100 pemulihan infrastruktur jalan menurun sebanyak 61 peratus.
“Jadi apakah jaminan kerajaan sebenarnya bahawa penurunan ketara ini tidak akan menjejaskan usaha pemulihan infrastruktur jalan di Terengganu, khususnya daerah Besut yang terdedah dengan banjir setiap tahun?” tegas beliau.
Dalam masa sama, Che Mohamad Zulkifly turut menggesa kementerian memberi perhatian terhadap lima cadangan projek menaik aras dan menaik taraf jalan di Besut bagi mengelakkan laluan terputus ketika musim tengkujuh.
Cadangan berkenaan melibatkan kerja menaik aras Jalan T05 (Seksyen 31.00–32.00) di Kampung Bela Oh, sepanjang 1,200 meter beserta jambatan dengan anggaran kos RM5 juta; menaik aras Jalan FT65 dari Bukit Selamah ke Jalan Masjid Taman Ilmu (RM3 juta); serta menaik aras Jalan T163 dari Pelagat dan Lata Tembakah ke Jalan Padang Tapong (RM5 juta).
Selain itu, beliau turut memohon kerja menaik taraf Jalan T05 (Jertih–Keruak) bagi Seksyen 24.90 hingga 26.60 serta Seksyen 1.50 hingga 22.50 menggunakan kaedah Cold In-Place Recycling (CIPR).
“Perkara ini sebenarnya walaupun di bawah Kementerian Kewangan, tetapi semasa lawatan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, dia ada janjikan untuk memperuntukkan RM25 juta untuk kerajaan Terengganu termasuk daerah Besut sekali bagi menaikkan aras jalan di Hulu Besut kerana terjejas akibat banjir,” ujarnya.