• 17 Apr 2024 | 8 Syawal 1445

Bajet Pendidikan Terengganu Meningkat



KUALA TERENGGANU, 23 Oktober - Bajet 2019 Terengganu yang akan dibentangkan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bulan depan bakal menyaksikan pertambahan peruntukan di sektor pendidikan.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, peningkatan itu termasuk bagi membiayai beberapa inisiatif baharu yang akan diperkenalkan bagi memperkasakan lagi kecemerlangan pendidikan negeri.

"Inisiatif itu antara lain akan memberi ruang kepada rakyat supaya dapat mengikuti kursus profesional yang diiktiraf oleh badan profesional.


"Kebiasaannya orang hanya melihat pembiayaan kepada program ijazah dan Doktor Falsafah (PhD) namun tidak bagi kursus profesional untuk melengkapkan seseorang menjadi anggota profesional dalam bidang tertentu.

'Jadi kita akan biaya mereka dan perkara ini akan dimaklumkan dalam pembentangan bajet nanti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam pertandingan akhir dan penyampaian hadiah Pertandingan Terengganu-Exxonmobil Mathematics Innovation Challenge (TExMIC) dan Spark Your Creativity Challenge (SYCC) di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT), hari ini.

Turut hadir sama, Pengurus Besar Hal Ehwal Awam dan Kerajaan Subsidiari-subsidiari ExxonMobil di Malaysia, Sukiman Mohamed, Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussin dan Ketua Pegawai Eksekutif PSKT, Prof. Dr. Wan Nor Liza Mahadi.


Dalam majlis itu, Ahmad Samsuri turut menyampaikan  hadiah kepada pemenang TExMIC iaity Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Lela Segara yang menjadi juara bagi ketegori menengah atas.

Manakala bagi kategori menengah rendah dimenangi oleh SMK Datuk Haji Razali Ismail sementara bagi kategori sekolah rendah disandang oleh Sekolah Kebangsaan Padang Mengkuang.

TExMIC 2018 yang dianjurkan sejak 2011 bertujuan mewujudkan pemahaman teori matematik dalam kehidupan seharian, membina kemahiran berpasukan, berkomunikasi dan kemahiran berfikir secara kritis dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah.

Pada edisi kali ini, seramai 516 pelajar menyertai TExMIC dengan 100 daripadanya yang mewakili 25 pasukan berjaya mara ke peringkat akhir manakala bagi SYCC pula 30 orang.

Tag: