• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Balai Raya Boleh Diguna Bersama



Kerajaan Negeri Terengganu di bawah pimpinan Pas memutuskan penggunaan balai raya yang di bawah kerajaan negeri boleh digunakan bersama oleh orang ramai pelbagai pihak, termasuk parti politik.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, mereka boleh mengadakan mesyuarat dan hari keluarga misalnya, dengan syarat ia dijaga dengan baik penggunaannya termasuk aspek kebersihan.

"Saya sering ditanya oleh pihak dari parti politik seperti Umno, Amanah, PKR, berkaitan penggunaan balai raya untuk program mereka, maka saya jawab boleh kerana ia milik bersama dan inilah budaya politik matang dan sejahtera yang kita perkenalkan," jelasnya.


Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Berbuka Puasa bersama perantau anak Terengganu di Bangi Convention Centre (BCC) di Bandar Baru Bangi Selangor.

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri antara yang hadir bersama ribuan anak Terengganu di sekitar Lembah Kelang. Turut hadir isteri Menteri Besar, Tuan Faizah Abd Rahman.

Dr Ahmad Samsuri juga bersetuju cadangan agar mantan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dilantik sebagai penasihat ekonomi bagi memajukan ekonomi Terengganu.

Tan Sri Khalid yang hadir bersama berbuka puasa di majlis itu, mengucap terima kasih di atas kesudian kerajaan Terengganu melantiknya.


Dalam majlis itu Menteri Besar turut mengulangi penegasan bahawa kerajaan pimpinannya bersifat terbuka dengan bersedia menerima pandangan, cadangan dari rakyat dan sesiapa sahaja kerana sebagai manusia biasa wakil-wakil rakyat tetap ada kelemahan dan kekurangannya.

"Terima kasih atas sokongan dan usaha untuk membawa perubahan kepada negeri Terengganu dan marilah bersama-sama untuk perubahan negeri bagi menuju kepada keredhaan Allah sebagai kemuncaknya," tegas Dr Ahmad Samsuri.

Katanya, kita boleh berbeza politik dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi, tetapi kita perlu bersatu dalam hasrat bangunkan negeri.

Tag: