• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Balik Beraya Tak Dibenarkan - PM

PUTRAJAYA, 10 Mei - Perjalanan balik kampung merentas sempadan negeri bagi berhari raya masih tidak dibenarkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuat kuasa hingga 9 Jun ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau tahu ramai sedih kerana tidak dapat pulang ke kampung halaman dan menyambut Aidilfitri bersama keluarga.

Namun katanya, larangan sedemikian harus dilaksanakan bagi menjamin keselamatan dan mengekang penularan COVID-19 sepenuhnya.

“Dalam tempoh lanjutan PKPB ini, ada beberapa perayaan utama yang lazimnya akan membabitkan pergerakan orang ramai, iaitu Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai.

“Jadi saya nak mengingatkan saudara-saudari mengenai larangan pergerakan antara negeri yang masih berkuat kuasa dalam tempoh ini.

“Ini bermakna, minta maaf banyak-banyak, saya mohon ampun, demi menjaga keselamatan dan kesihatan kita semua, perjalanan balik kampung merentas sempadan negeri untuk tujuan berhari raya tidak dibenarkan,” katanya pada perutusan khas, hari ini.

Beliau turut memohon rakyat Malaysia agar bersabar dalam menjalani kehidupan dalam fasa sekarang.

“Bersabarlah, bila keadaan kembali pulih sedikit masa lagi, saudara-saudari bolehlah balik ke kampung halaman menziarahi ibu bapa dan sanak saudara,” tambah beliau.


Tag: