• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Banduan Bertani, Menternak Di Penjara

KUALA TERENGGANU, 2 November – Seringkali kita melihat sektor pertanian diceburi oleh golongan B40 di kawasan pedalaman dan bandar, namun tiada siapa menduga bahawa banduan turut berkecimpung dalam bidang tersebut semasa berada di dalam tahanan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, beliau dimaklumkan ada tahanan di Penjara Marang mengusahakan sektor tersebut

"Topik kita tetap hal pertanian walau dalam penjara. Menarik sekali apabila dimaklumkan, di Penjara Marang ada diusahakan penternakan ikan keli dan pertanian kontan. Hasilnya pula mampu menampung keperluan banduan penghuni penjara serta boleh dijual juga kepada masyarakat sekitar.’ 

"Di samping wang hasil jualan akan disimpan dalam akaun amanah bagi kegunaan banduan bila dibebaskan nanti, ia juga mempersiapkan banduan dengan kemahiran pertanian untuk berhadapan dengan dunia luar nanti," ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan daripada Pengarah Penjara Marang, Penolong Kanan Komisional Nik Robidin Ab Rahman serta rombongan di Wisma Darul Iman hari ini.

 

Sementara itu, beliau berkata telah bersedia untuk memberikan komitmen untuk kerajaan negeri menunaikan hasrat pihak penjara memiliki sebuah ‘cool room’ agar bahan mentah pertanian boleh disimpan dengan lebih sempurna. 

"Malah, jabatan-jabatan di bawah Portfolio Pertanian Negeri juga akan diminta memberikan sokongan fizikal dan teknikal untuk merancakkan lagi aktiviti pertanian dalam penjara.

"Kita sentiasa membuka tangan seluas-luasnya bagi mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk berada di bidang ini bagi mengembangkan industri pertanian," tambah beliau