KUALA TERENGGANU, 22 April - Bangsa Melayu yang merupakan kaum majoriti negara ditegaskan sebagai teras kepada negara, manakala Islam menjadi asas utama dalam menjamin kelangsungan jati diri dan masa depan ummah.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, perkara itu menjadi antara mesej penting yang diketengahkan dalam penganjuran Ijtimak Perpaduan Ummah Himpunan Alam Melayu baru-baru ini.
"Kita menonjolkan tema Himpunan Alam Melayu, walaupun ada orang kata kenapa Himpunan Alam Melayu sedangkan di negara kita berbilang kaum.
"Kerana kita nak menegaskan bahawa teras kepada negara kita ialah bangsa Melayu," katanya ketika sesi penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Beliau menegaskan bahawa kelangsungan bangsa Melayu tidak dapat dipisahkan daripada pegangan terhadap ajaran Islam.
Oleh yang demikian, Dr. Khalil menyuarakan kebimbangan terhadap tahap kefahaman generasi muda masa kini terhadap jati diri Melayu yang berteraskan Islam.
"Kita sangat bimbang dengan generasi muda pada hari ini yang telah surut kefahaman mereka tentang jati diri Melayu bersandarkan Islam yang dibawa oleh Nabi kita, Muhammad SAW.
"Kerana itulah, perkara ini mestilah sentiasa ditekankan supaya ianya masuk dalam pemikiran generasi baru kepentingan untuk menyelamatkan negara kita pada masa yang akan datang,
"Demi generasi yang akan meneruskan kehidupan selepas daripada kita, insya-Allah," katanya.
Ulasnya lagi, antara deklarasi penting yang dipersetujui dalam himpunan tersebut ialah gesaan kepada pemimpin politik dan pertubuhan umat Islam untuk bersatu bagi menjamin kekuatan ummah.
"Ia adalah satu deklarasi yang sangat penting melihat kepada suasana politik yang berlaku dalam negara kita pada hari ini," ujar beliau.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan meneruskan penganjuran program berkenaan pada masa akan datang.
"Insya-Allah, Kerajaan Negeri di bawah portfolio Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah akan memastikan program ini akan dilaksanakan pada tahun-tahun yang akan datang sama ada kita buat setiap tahun ataupun secara berkala,” jelasnya.
Tag :
Utama