• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

Bangsal "Nyadat" Mampu Tarik Pelancong


Oleh: Khairan Mat Jusoh

MARANG, 10 November - Industri 'nisan' (manisan) di Kampung Jenang mampu menjadi salah satu produk pelancongan menarik setelah diberi nafas baharu sekali gus menarik lebih ramai pelancong ke daerah ini.

Timbalan Pengerusi Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Ustaz Sulaiman Sulong berkata, bagi merealisasikan hasrat tersebut antara yang menjadi keutamaan ialah dengan menyediakan pelbagai prasarana bagi keselesaan pengunjung.

Katanya, memandangkan Kampung Jenang juga terkenal dengan perusahaan tradisional, beliau yakin industri ekopelancongan mampu dikembangkan untuk menjana ekonomi penduduk.

“Pelbagai aktiviti seperti menyusuri sungai Marang juga perlu turut dihidupkan semula.

"Kita mengharapkan supaya Mr Alex selaku Timbalan Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu untuk memberi satu penekanan dan kesungguhan untuk menghidupkan semula program "River Cruise" ataupun menyusuri Sungai Marang kerana kita memiliki banyak produk warisan di sepanjang sungai ini.


Beliau yang berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Amal Kekalkan Warisan Gula Nisan (Manisan) anjuran Amanah Raya Berhad di Kampung Jenang,semalam.

Turut hadir Ketua Bahagian Hal Ehwal Koporat Amanah Raya Berhad Nik Sarina Nik Idris.

Sementara itu Nik Sarina Nik Idris berkata, program yang diadakan itu merupakan salah satu inisiatif untuk mendekati masyarakat khususnya golongan yang memerlukan.

“Sumbangan yang diserahkan adalah  bagi membantu kerja-kerja pemuliharaan dan menaiktarafkan kawasan bangsal agar warisan berkenaan dapat diteruskan selain mampu menarik lebih ramai pelancong asing datang ke Terengganu khususnya ke Kampung Jenang.

Pada majlis itu, Amanah Raya menyalurkan sumbangan RM5,000 kepada pengusaha dan pemilik bangsal tersebut, Azman Husein, 48, yang lebih dikenali sebagai Pak Man.

Tag: