lightning-solid
Berita :
‘Street Dakwah’ Gamit Pengunjung Pantai Batu Burok Cintai Rasul
‘Street Dakwah’ Gamit Pengunjung Pantai Batu Burok Cintai Rasul
Noraini Jusoh
6 jam yang lepas
97

Oleh : Haida Al-Ayyash

KUALA TERENGGANU, 24 Ogos – Suasana santai di Pantai Batu Burok hujung minggu lalu bertukar penuh meriah apabila program Street Dakwah: Unity Through Dakwah berjaya mencuri perhatian pengunjung, sekali gus menyemarakkan rasa cinta kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW sempena sambutan hari keputeraan Baginda.

Dengan pendekatan yang lebih dekat di hati masyarakat, program anjuran Akademi DUAT itu membuktikan dakwah tidak semestinya berkisar di masjid atau dewan, sebaliknya boleh disampaikan di lokasi riadah, dalam suasana santai, mesra dan penuh mahabbah.

Penolong Pengarah Operasi Akademi DUAT, Wan Ahmad Zuki Wan Ismail, berkata pendekatan dakwah jalanan merupakan satu usaha membawa mesej Islam terus kepada lapangan masyarakat melalui kaedah yang kreatif dan mudah diterima.

“Dakwah secara terjah terus kepada masyarakat masih jarang dilaksanakan kerana pelbagai kekangan. Oleh hal demikian, Akademi DUAT tampil membawa pendekatan yang lebih segar supaya mesej Islam dapat disampaikan kepada semua lapisan masyarakat,” katanya kepada pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman.

Menurut beliau, program dimulakan dengan alunan nasyid berkisar tentang Cinta Rasul oleh kumpulan Shoutul Iman yang bergema di sekitar pantai, sekali gus menarik perhatian orang ramai yang sedang beriadah bersama keluarga.

"Kemuncak program ialah sesi Kuiz Interaktif Cinta Rasul, apabila pengunjung tanpa mengira usia tampil memenuhi ruang hadapan pentas untuk menjawab pelbagai soalan berkaitan sirah dan keperibadian Rasulullah SAW. Sambutan yang begitu menggalakkan membuktikan kecintaan masyarakat terhadap Baginda sentiasa subur dan tidak mengenal musim.

"Selain kuiz interaktif yang dikendalikan penceramah jemputan, Ustaz Zool Amali, program turut diserikan dengan pengagihan risalah mengenai keperibadian Rasulullah SAW, pemberian aiskrim serta belon secara percuma kepada pengunjung, sekali gus mewujudkan suasana dakwah yang ceria dan mesra keluarga." ujarnya.
Tambahnya lagi, pendekatan turun padang seperti ini wajar diteruskan secara berkala kerana berjaya menghidupkan suasana keagamaan dalam kalangan masyarakat, selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri Terengganu yang mengangkat tema ‘Indahnya Hidup Bersyariat’.

Beliau berharap program seumpama ini akan menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif dakwah secara kreatif pada masa hadapan agar mesej Islam terus menyentuh hati masyarakat melalui pendekatan yang lebih dekat, santai dan berkesan.


Tag :

Artikel Berkaitan