lightning-solid
Berita :
Bangunan Madrasah Falahiyyah Dicadang Jadi Tapak Baharu SMIDI Setiu
Bangunan Madrasah Falahiyyah Dicadang Jadi Tapak Baharu SMIDI Setiu
Zahid Mustafar
05 Feb 26
49

Oleh: Nik Muhammad Ziyad Nik Abdul Ghafar

SETIU, 5 Februari – Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir mencadangkan agar bangunan milik Madrasah Falahiyyah di Kampung Pondok Paku di sini, dipertimbangkan sebagai tapak operasi baharu bagi Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI).

Cadangan tersebut dikemukakan sebagai langkah strategik untuk mengoptimumkan penggunaan aset sedia ada yang tidak digunakan, khususnya fasiliti bekas asrama anak yatim di kawasan berkenaan yang dilaporkan telah terbiar sejak setahun lalu.

Shaharizukirnain berkata, inisiatif ini telah dipanjangkan kepada Kerajaan Terengganu  melalui Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT) untuk penilaian lanjut.

"Saya mencadangkan Kerajaan Negeri melalui JPINT membuka SMIDI di lokasi ini agar bangunan milik madrasah yang struktur fizikalnya masih utuh dapat dimanfaatkan sepenuhnya demi kelangsungan pendidikan Islam.

"Langkah ini bukan sahaja menjimatkan kos pembinaan infrastruktur baharu, malah menghidupkan semula kawasan ini sebagai hab ilmu," katanya selepas mengadakan tinjauan lapangan bersama wakil JPINT dan Pengerusi Jawatankuasa Madrasah, Ustaz Li, hari ini.

Menurut beliau, usaha ini merupakan kesinambungan kepada misi pemerkasaan pendidikan di daerah Setiu, susulan kejayaan inisiatif terdahulu yang menukarkan Sekolah Agama Rakyat (SAR) Felda Selasih kepada Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) Jabi.

Susulan tinjauan tersebut, pihak JPINT dan Jawatankuasa Madrasah dijadualkan mengadakan siri perbincangan lanjut bagi memperincikan aspek teknikal, perundangan dan pengurusan aset sebelum sebarang keputusan muktamad diambil.

Sekiranya persetujuan dicapai, aset milik madrasah tersebut bakal beroperasi semula sebagai sebuah institusi pendidikan arus perdana negeri, sekali gus menjadi pemangkin kepada pembangunan modal insan di daerah ini.


Artikel Berkaitan